Jumaat, 27 Mei 2016 | 7:19pm
Projek baharu UEM Sunrise, Melia Residences.
Projek baharu UEM Sunrise, Melia Residences.

UEM Sunrise, TM maju tanah di Jalan Raja Chulan

Pengarah Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Izzaddin Idris.
Pengarah Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Izzaddin Idris.

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd memeterai Perjanjian Pembangunan Tanah (JLDA) bersama Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk memajukan sebidang tanah seluas 0.7 hektar di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Tanah milik TM itu dirancang dimajukan sebagai pembangunan bercampur bangunan tinggi terdiri daripada apartmen servis dan elemen runcit bagi menampung komuniti terdekat.

JLDA itu dimuktamadkan hari ini antara UEM Sunrise, TM dan Sunrise Quality Sdn Bhd (SQSB), sebuah anak syarikat milik penuh tidak langsung UEM Sunrise, yang akan bertindak sebagai unit pembangunan projek berkenaan.

Mengikut JLDA itu, SQSB akan membayar kepada TM, Kos Tanah Dijamin sebanyak RM150 juta, selain lima peratus daripada nilai pembangunan kasar (GDV) projek yang akan ditentukan kemudian.

Nilai pertimbangan tanah dipersetujui berdasarkan persetujuan pembeli dan penjual, yang dicapai selepas satu proses tender terbuka.

SQSB akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perancangan dan pembangunan tanah itu yang terletak strategik berhampiran Pusat Bandar Kuala Lumpur serta mempunyai pemandangan menarik Hutan Simpan Bukit Nanas dan Menara Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Izzaddin Idris, berkata perjanjian dimeterai bersama TM akan membolehkan kumpulan menggunakan kepakaran dalam menghasilkan pembangunan gaya hidup unik di Pusat Bandar Kuala Lumpur.

"Kami berharap mendapat kelulusan yang diperlukan dalam masa 12 hingga 24 bulan akan datang," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

UEM semalam turut mengumumkan keputusan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2016, yang menyaksikan pendapatannya merosot kepada RM257.8 juta daripada RM417.7 juta pada suku sama tahun lalu.

Ia terutama disebabkan penurunan dalam jualan hartanah di wilayah selatan, selain tahun lalu kumpulan merekodkan sumbangan pendapatan lebih tinggi daripada dua projek utama iaitu Teega dan Summer Suites.

Keuntungan bersih dalam suku dikaji susut kepada RM3 juta berbanding RM53.1 pada suku pertama 2015 disebabkan keuntungan lebih rendah daripada operasi, kos kewangan lebih tinggi ekoran peningkatan dalam pinjaman dan permodalan lebih rendah selepas beberapa projek disiapkan.

Pada masa sama, sumbangan daripada syarikat sekutu dan usaha sama sepanjang suku pertama 2016 juga adalah lebih rendah.

INFO: Projek baharu UEM Sunrise pada tahun kewangan 2016
* Denai Nusantara dengan GDV RM188.5 juta
* Melia Residences dengan GDV RM280.1 juta.

Berita Harian X