Isnin, 23 Mei 2016 | 8:48pm

Biotech Corp jangka lebih banyak eksport produk bio

KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (Biotech Corp), Datuk Nazlee Kamal. - Foto Zulaikha Zainuzman
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (Biotech Corp), Datuk Nazlee Kamal. - Foto Zulaikha Zainuzman

BATU KAWAN: Malaysian Biotechnology Corporation (Biotech Corp) menjangka peningkatan dalam eksport produk berasaskan bio Malaysia mulai tahun ini di bawah fasa ketiga Dasar Bioteknologi Negara, 'Going Global' (2016 hingga 2020).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nazlee Kamal, berkata matlamat dasar itu adalah memacu syarikat berasaskan bio Malaysia ke arah pasaran global.

"Bagi memastikan terus berkembang, ekosistem sokongan yang kukuh meliputi perniagaan, aspek kawal selia dan teknikal, penting untuk dipadankan dengan keperluan industri yang semakin meningkat.

"Kami mengharapkan untuk menghasilkan 20 produk berasaskan bio yang baharu pada akhir tahun untuk meningkatkan nilai eksport kami," katanya dalam ucapan pada BioPartnering 2016, Siri Utara di sini, hari ini.

BioPartnering 2016, adalah acara rangkaian perniagaan melibatkan syarikat berasaskan bioteknologi, perusahaan kecil dan sederhana, syarikat multinasional dan usahawan.

Nazlee berkata, penjenamaan semula Biotech Corp sedang dilaksanakan selepas diluluskan oleh Parlimen pada 23 April lalu.

"Kami akan dikenali dengan Bioeconomy Development Corporation pada 2 Jun dengan logo baharu berikutan kami menyasarkan untuk menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, katanya, rangkaian BioNexus Partners di bawah Biotech Corp adalah strategi berkesan dalam kebanyakan model perniagaan yang berjaya bagi pengkomersialan produk berasaskan bio di negara lain.

"Syarikat berasaskan bio Malaysia boleh menembusi dan bersaing dalam pasaran global jika produk atau perkhidmatan mereka memenuhi standard antarabangsa dari segi kesaksamaan, keselamatan dan keberkesanan.

"Kita perlu menggalakkan peserta tempatan untuk membuat perubahan dan beralih ke peringkat seterusnya dan meningkatkan nilai eksport produk berasaskan bio, terutama ketika kami mendorong mereka ke pasaran global," kata Nazlee.

Biotech Corp adalah agensi pembangunan ekonomi berasaskan bio di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyediakan sokongan, bantuan dan nasihat kepada syarikat bioteknologi dan sains hayat di Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X