Selasa, 17 Mei 2016 | 8:46pm

PNS sasar lima syarikat BIT layak jadi francaisor

PENGARAH Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin hadir pada majlis pelancaran syarikat perkhidmatan urutan terapi THES Wellness Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENGARAH Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin hadir pada majlis pelancaran syarikat perkhidmatan urutan terapi THES Wellness Sdn Bhd di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyasarkan lima syarikat tempatan yang menyertai program 'Transformasi Perniagaan' (BIT) layak menjadi francaisor bermula tahun ini.

BIT adalah satu program transformasi perniagaan pra francais yang membolehkan usahawan kecil menjadi lebih berdaya saing dan sistematik dalam menjalankan perniagaan dengan matlamat dapat menjana lebih keuntungan serta mengembangkan perniagaan secara lebih berkesan.

Program itu juga melatih usahawan supaya mampu berdaya saing di pasaran dan seterusnya perniagaan berkenaan berupaya dibangunkan ke arah sistem francais.

Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin, berkata sejak diperkenalkan pada tahun 2013, sebanyak 62 syarikat sudah menyertai program BIT, melebihi sasaran asalnya untuk mendapatkan 50 pra-francaisor.

Beliau berkata, 62 pra-francaisor berkenaan pula setakat ini berjaya melahirkan kira-kira 900 usahawan kecil yang berpotensi menjadi francaisi pada masa akan datang.

"Program ini bukanlah segala-galanya mengenai jumlah syarikat yang menyertainya, namun kualiti syarikat terbabit selepas terbabit di bawah BIT.

"Kejayaan program BIT diukur dari segi kesediaan syarikat terbabit untuk beralih menjadi francaisor yang bermakna dari segi komitmen dan operasi mereka adalah sangat baik," katanya selepas majlis pelancaran syarikat perkhidmatan urutan terapi THES Wellness Sdn Bhd di sini, hari ini.

THES Wellness adalah usaha sama antara Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH) dan golongan warta buta yang menawarkan konsep operasi secara kios serta mudah alih.

Melalui usaha itu, THES Wellness mendapat sokongan PNS melalui program BIT, yang mana PNS menawarkan perkhidmatan rundingan perniagaan dan bantuan kewangan bagi membolehkan rangkaian perniagaan secara francais dibina.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi THONEH, Tan Sri Tengku Azlan Abu Bakar. Turut hadir Pengarah THES Wellness, Hasidi Hassan yang juga seorang usahawan buta.

Mengulas lanjut, Syed Kamarulzaman berkata PNS bersedia menawarkan pembiayaan antara RM25,000 hingga RM50,000 kepada usahawan yang berminat menyertai BIT di bawah THES Wellness.

Bagaimanapun, katanya, kos untuk membuka perniagaan berkenaan akan dinilai terlebih dulu, bergantung kepada keperluan operasi dan lokasi sebelum jumlahnya dapat ditentukan.

"PNS juga menawarkan bantuan dalam bentuk latihan asas, termasuklah dari segi operasi selain mempunyai kedai yang boleh digunakan bagi menjalankan perniagaan," katanya.

INFO

* Sebanyak 62 syarikat sudah menyertai program BIT

* Syarikat berjaya lahirkan 900 usahawan kecil yang berpotensi menjadi francaisi

* 50 kios THES Wellness disasar dibuka dalam masa 5 tahun

* PNS sedia tawar pembiayaan antara RM25,000 hingga RM50,000 kepada usahawan menyertai BIT di bawah THES Wellness

Berita Harian X