Selasa, 17 Mei 2016 | 8:20pm
SENTIMEN global yang kukuh termasuk kenaikan harga minyak mentah dan prestasi meningkat pasaran saham Amerika Syarikat mendorong peningkatan Bursa Malaysia hari ini. - Foto hiasan
SENTIMEN global yang kukuh termasuk kenaikan harga minyak mentah dan prestasi meningkat pasaran saham Amerika Syarikat mendorong peningkatan Bursa Malaysia hari ini. - Foto hiasan

Sentimen global kukuh lonjak Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Sentimen global yang kukuh termasuk kenaikan harga minyak mentah dan prestasi meningkat pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mendorong peningkatan Bursa Malaysia hari ini, dengan penutup FBM KLCI hampir kepada paras tertinggi hariannya.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.18 mata sebelum ditutup pada 1,633.39, berbanding 1,621.21 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu bergerak antara 1,619.48 dan 1,634.41 sepanjang hari ini.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 479 berbanding 341, manakala 335 kaunter tidak berubah, 556 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan tidak berubah pada 1.7 bilion saham dengan nilai sedikit tinggi pada RM1.72 bilion, berbanding 1.7 bilion saham bernilai RM1.69 bilion pada Isnin.

Peniaga berkata, selain bursa tempatan, pasaran Asia lain turut diniagakan tinggi.

"Pasaran saham di rantau ini meningkat, didorong oleh kenaikan terbesar syarikat teknologi terkemuka Apple Inc dalam tempoh dua bulan, manakala harga minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi dalam tempoh enam bulan pada AS$49.47 setong.

"Ini telah merangsang pasaran global termasuk Bursa Malaysia...justeru, pelabur berharap aliran ini akan berterusan," kata peniaga, dengan menambah, pelabur turut berharap harga minyak mentah boleh melepasi paras AS$50 setong tidak lama lagi.

Penanda aras global, minyak Brent mencecah paras AS$50 pada 4 November tahun lalu.

Bagaimanapun, bagi pasaran tempatan, sebahagian peniaga masih berhati-hati dan akan mengikuti perkembangan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada Khamis, yang boleh memberi petunjuk kepada bursa tempatan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM8.53, Public Bank menokok 16 sen kepada RM19.16, manakala TNB dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM14 dan RM6.57.

Antara saham aktif, AirAsia X naik 1.5 sen kepada 41 sen, AirAsia meningkat 10 sen kepada RM2.32 namun Vivocom dan Compugates masing-masing turun setengah sen kepada 33 sen dan 4.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 65.80 mata kepada 11,415.92, Indeks FBMT100 bertambah 63.75 mata kepada 11,103.92 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 57.80 mata kepada 11,906.81.

FBM 70 naik 5.73 mata kepada 12,836.76, FBM Ace berkembang 74.03 mata kepada 5,773.47 dan Indeks Kewangan meningkat 83.32 mata kepada 14,307.76.

Indeks Perladangan menokok 53.16 mata kepada 7,490.77 dan Indeks Perusahaan bertambah 40.47 mata kepada 3,054.81.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.19 bilion unit bernilai RM1.62 bilion daripada 1.02 bilion unit bernilai RM1.55 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 381.94 juta unit bernilai RM78.02 juta berbanding 540.48 juta unit bernilai RM124.58 juta semalam.

Waran berkurangan kepada 131.08 juta unit bernilai RM19.15 juta daripada 139.94 juta unit bernilai RM19.29 juta.

Barangan pengguna menyumbang 108.37 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (221.79 juta), pembinaan (59.21 juta), perdagangan dan perkhidmatan (595.52 juta), teknologi (24.92 juta), infrastruktur (9.16 juta), SPAC (9.75 juta), kewangan (51.34 juta), hotel (1.51 juta), hartanah (81.54 juta), perladangan (21.34 juta), perlombongan (12,100), REIT (7.30 juta) dan dana tertutup (6,400). - BERNAMA

Berita Harian X