Ahad, 8 Mei 2016 | 11:18am
RINGGIT dijangkakan berlegar sekitar 4.01 berbanding dolar AS minggu depan, mengekori pergerakan harga minyak mentah. - Foto hiasan
RINGGIT dijangkakan berlegar sekitar 4.01 berbanding dolar AS minggu depan, mengekori pergerakan harga minyak mentah. - Foto hiasan

Ringgit sekitar 4.01 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangkakan berlegar sekitar 4.01 berbanding dolar AS minggu depan, mengekori pergerakan harga minyak mentah.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata pergerakan mata wang tempatan akan mengekori trend harga minyak mentah Brent.

Penanda aras global harga minyak mentah Brent susut kepada AS$44.75 pada Jumaat apabila dolar AS meraih momentum.

"Turun naik ringgit banyak berkait rapat dengan pergerakan harga minyak... inilah trend jangka pendek dan saya yakin ia (ringgit) akan pulih tidak lama lagi apabila harga minyak kembali meningkat," katanya.

Harga minyak mentah Brent dan US West Texas Intermediate (WTA) susut lebih lima peratus ekoran inventori minyak mentah US mencatat paras tertinggi dalam tempoh 80 tahun.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit melepasi paras 4.00 berbanding dolar dan mencecah paras terendah dalam tempoh enam minggu, paras yang kali terakhir direkodkan pada 29 Mac, 2016.

Unit tempatan ditutup kepada 4.0000/0080 pada Jumaat berbanding dolar daripada 3.9000/9070 pada minggu sebelumnya.

Ia juga rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9440/9501 berbanding 2.9024/9083 Jumaat sebelumnya dan lemah berbanding yen kepada 3.7404/7489 daripada 3.6411/6487 sebelumnya.

Mata wang tempatan juga rendah berbanding pound British kepada 5.7948/7080 daripada 5.6862/6984 Jumaat lepas dan lemah berbanding euro kepada 4.5684/5791 daripada 4.4370/4462 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X