Rabu, 4 Mei 2016 | 2:48pm

Google, Fiat keluarkan kereta tanpa pemandu

KENDERAAN tanpa pemandu di ibu pejabat Google di California. - Foto fail AFP
KENDERAAN tanpa pemandu di ibu pejabat Google di California. - Foto fail AFP

DETROIT: Anak syarikat Alphabet Inc, Google dan Fiat Chrysler Automobiles NV mencapai persetujuan untuk bekerjasama mengeluarkan 100 van mini pemanduan sendiri yang menandakan usaha sama paling kukuh dijalinkan setakat ini antara Silicon Valley dengan pengeluar kereta tradisional.

Usaha sama itu menandakan kali pertama Google bekerjasama secara terus dengan pengeluar kereta bagi 'mengintegrasi sistem pemanduan sendiri', termasuk perisian dan pengesan ke dalam sebuah kereta penumpang, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Jurutera Google dan Fiat Chrysler akan bekerjasama untuk memasang teknologi pemanduan automatik Google ke dalam van mini Pacifica.

Beberapa jurutera dari kedua-dua syarikat akan bekerjasama di sebuah kemudahan terletak di tenggara Michigan, iaitu lokasi pusat kejuruteraan utama Amerika Utama Fiat Chrysler.

Google bagaimanapun berkata, ia tidak akan berkongsi teknologi kenderaan pemanduan sendiri bersama Fiat Chrysler dan kenderaan berkenaan tidak akan dijual ke pasaran.

Perjanjian antara Google dan Fiat Chrysler dijalin apabila pesaing teknologi dan syarikat automotif lain mempercepatkan usaha untuk menguasai sistem peralatan dan kepintaran tiruan yang kompleks bagi membolehkan kenderaan dipandu sendiri.

General Motors Co, Mac lalu bersetuju untuk membeli syarikat kereta pemanduan sendiri berpangkalan di San Francisco, Cruise Automation.

Pengeluar kereta Jerman iaitu Daimler AG, BMW AG dan Volkswagen AG tahun lalu membeli syarikat pemetaan digital, HERE untuk mempercepatkan pembangunan teknologi pemanduan sendiri.

Beberapa penganalisis berkata, van mini pemanduan sendiri sesuai untuk diuji secara besar-besaran dalam suasana terkawal di kampus Google atau Fiat Chrysler, mahu pun di pusat bandar. - Reuters

Berita Harian X