Selasa, 3 Mei 2016 | 6:37pm

Harga minyak jatuh susulan peningkatan pengeluaran

LONDON: Minyak jatuh hari ini, disebabkan kenaikan pengeluaran di Asia Barat dan Laut Utara memperbaharui kebimbangan mengenai lebihan bekalan global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan lebih rendah pada AS$45.46 setong pada 0919 GMT, lebih rendah daripada kenaikan terdahulu.

Niaga hadapan minyak mentah AS juga turut jatuh 37 cents pada AS$44.41 setong.

Menurut Iraq, purata penghantaran minyaknya dari medan selatan adalah 3.364 juta tong sehari (bpd) pada April, meningkat dari 3.286 juta pada Mac.

Pengeluaran dari pengeksport utama Arab Saudi, adalah 10.15 juta bpd pada April, namun sumber berkata ia mungkin kembali kepada rekod 10.5 juta bpd, tidak lama lagi.

Iran juga meningkatkan pengeluaran berikutan penamatan sekatan pada Januari, meningkatkan eksportnya kepada hampir 2 juta bpd, lebih sedikit daripada 1 juta bpd pada awal tahun.

Bekalan harian minyak mentah North Sea Brent yang menyumbang kepada penanda aras niaga hadapan, akan meningkat pada Jun untuk paras tertinggi dalam tempoh empat bulan, sehingga meningkat 17 peratus dari Mei. - Reuters

Berita Harian X