Jumaat, 29 April 2016 | 7:30pm
BURSA Malaysia mengatasi kerugian awalnya pada 10 minit terakhir sesi dagangan untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan aktiviti mencari saham-saham berharga rendah. - Foto hiasan/NSTP
BURSA Malaysia mengatasi kerugian awalnya pada 10 minit terakhir sesi dagangan untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan aktiviti mencari saham-saham berharga rendah. - Foto hiasan/NSTP

Saham KL ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengatasi kerugian awalnya pada 10 minit terakhir sesi dagangan untuk ditutup rendah sedikit hari ini berikutan aktiviti mencari saham-saham berharga rendah.

Petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.04 mata untuk ditutup kepada 1,672.72 berbanding 1,674.76 yang dicatatkan pada Khamis.

Sewaktu dibuka, ia jatuh 3.24 mata kepada 1,671.52 dan berlegar antara paras 1,660.92 dan 1,672.72 pada sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 438 berbanding 347 dengan 359 kaunter tidak berubah, 580 kaunter tidak didagangkan manakala 36 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.50 bilion saham bernilai RM2.09 bilion daripada 1.78 bilion saham bernilai RM2.31 bilion, sebelum ini.

Seorang peniaga berkata, prestasi pasaran tempatan itu menjejaki perkembangan di pasaran serantau yang terus diselubungi sentimen negatif susulan keputusan tidak dijangka oleh pihak Bank Of Japan (BOJ) yang bertindak menangguhkan keputusannya berhubung dasar monetari.

"Keputusan BOJ itu ternyata mengejutkan para pelabur dan seterusnya menjejaskan pasaran ekuiti global," katanya.

Bagi saham-saham berwajaran tinggi, Maybank menokok tiga sen kepada RM8.93, TNB naik 16 sen kepada RM14.36, Petronas Chemicals meraih satu sen kepada RM6.71 namun IHH susut tujuh sen kepada RM6.55 manakala Public Bank tidak berubah pada RM18.70.

Saham-saham aktif pula menyaksikan SapuraKencana dan Vivocom masing-masing menokok satu sen kepada RM1.65 dan 32.5 sen, waran YKGI naik tiga sen kepada 7.5 sen manakala AirAsia X turun setengah sen kepada 34 sen.

Indeks FBM Emas turun 21.93 mata kepada 11,638.02, Indeks FBMT100 susut 22.91 mata kepada 11,334.19 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 8.54 mata kepada 12,208.99.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.04 bilion unit bernilai RM2.0 bilion daripada 1.31 bilion unit bernilai RM2.23 bilion. - BERNAMA

Berita Harian X