Selasa, 26 April 2016 | 6:07pm
BURSA Malaysia ditutup rendah secara menyeluruh ekoran jualan berterusan oleh dana institusi asing. - Foto hiasan
BURSA Malaysia ditutup rendah secara menyeluruh ekoran jualan berterusan oleh dana institusi asing. - Foto hiasan

Bursa ditutup rendah berikutan jualan berterusan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah secara menyeluruh ekoran jualan berterusan oleh dana institusi asing, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 22.01 mata untuk ditutup pada paras terendah harian pada 1,692.50 berbanding 1,714.51 pada penutupan Isnin.

Ia dibuka 0.61 mata lebih rendah pada 1,713.90 dan bergerak antara 1,692.50 dan 1,714.10 di sepanjang hari.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 779 berbanding 164, dengan 286 kaunter tidak berubah, 503 kaunter tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.91 bilion saham bernilai RM2.33 bilion, berbanding 1.85 bilion saham bernilai RM1.64 bilion pada Isnin.

Seorang peniaga berkata kebanyakan pasaran Asia juga susut apabila pelabur mengelak daripada mengambil risiko sementara menunggu arah tuju baharu hasil mesyuarat Rizab Persekutuan US dan he Bank of Japan.

"Dana asing yang memasuki bursa tempatan sebelum ini, mula mengambil untung susulan peningkatan nilai ringgit berbanding dolar AS," katanya.

Di Bursa tempatan, kebanyakan kaunter wajaran tinggi rendah, dengan Maybank susut empat sen kepada RM8.97, TNB turun 10 sen kepada RM14.40, Public Bank susut 28 sen kepada RM18.84, IHH turun tiga sen kepada RM6.68 manakala Petronas Chemicals susut satu sen kepada RM6.69.

Antara saham aktif, Sona Petroleum warrants susut dua sen kepada satu sen, Vivocom dan Spring Gallery warrants masing-masing turun 1.5 sen kepada 31.5 sen dan 26.5 sen, manakala AirAsia X dan warannya masing-masing turun 2.5 sen kepada 34 sen dan 19 sen.

Indeks FBM Emas merosot 157.63 mata kepada 11,745.26, Indeks FBMT100 turun 150.91 mata kepada 11,446.40 dan Indeks FBM Emas turun 163.78 mata kepada 12,297.56. FBM 70 turun 178.84 mata kepada 13,021.14 manakala FBM Ace susut 107.57 mata kepada 5,672.70.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 115.01 mata kepada 14,702.10, Indeks Perusahaan turun 32.63 mata kepada 3,232.64 manakala Indeks Perladangan susut 45.47 mata kepada 7,695.32.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.18 bilion unit bernilai RM2.20 bilion, berbanding 1.35 bilion unit bernilai RM1.55 bilion yang direkodkan pada Jumaat.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 482.35 juta saham bernilai RM106.32 juta berbanding 342.59 juta saham bernilai RM76.36 juta pada Isnin.

Waran meningkat kepada 237.82 juta unit bernilai RM25.84 juta berbanding 154.23 juta unit bernilai RM16.02 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 478.29 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (229.45 juta), pembinaan (82.58 juta), perdagangan dan perkhidmatan (636.49 juta), teknologi (86.73 juta), infrastruktur (9.09 juta), SPAC (475.66 juta), kewangan (46.72 juta), hotel (1.11 juta), hartanah (99.98 juta), perladangan (25.49 juta), perlombongan (4,000), REIT (7.36 juta), dan dana tertutup (17,100). - BERNAMA

Berita Harian X