Rabu, 20 April 2016 | 2:30pm

Public Bank catat untung bersih RM1.23b Q1

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.23 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2016, meningkat lima peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

Pendapatannya pula meningkat kepada RM5.04 bilion berbanding RM4.60 bilion sebelumnya.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan perbankan itu memulakan 2016 dengan momentum yang positif.

Beliau berkata, Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama tahun ini, dengan pinjaman dan deposit dalam negeri mencatatkan pertumbuhan tahunan yang mantap, masing-masing 9.0 peratus dan 10.9 peratus.

"Dengan pertumbuhan deposit yang kukuh, kumpulan terus mengekalkan nisbah pinjaman kepada deposit bersih yang mantap sebanyak 89.9 peratus pada akhir Mac 2016," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Hong Piow berkata, meskipun persekitaran operasi adalah mencabar, Kumpulan Public Bank terus maju dan berupaya mencatatkan keputusan kewangan yang baik dengan mencatatkan pulangan ekuiti bersih sebanyak 16.1 peratus serta mengekalkan nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 31.5 peratus pada suku pertama 2016.

Beliau berkata, keputusan itu adalah bukti keteguhan model perniagaan dan mencerminkan tumpuan kumpulan yang berterusan dalam strategi pertumbuhan organiknya.

Berita Harian X