Isnin, 11 April 2016 | 2:26pm

Saham KL rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada akhir dagangan pagi, diheret turun oleh kedudukan terlebih beli selain kedudukan serantau yang dilemah yang diketuai Nikkei 225 Jepun.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.72 mata pada tengah hari kepada 1,713.68 berbanding 1,718.40 pada penutupan Jumaat.

Ia dibuka 2.21 mata lebih rendah kepada 1,716.19, dan susut ke paras terendah pada 1,710.35.

Antara kaunter rugi, Maxis susut lapan sen kepada RM6.05, Genting Malaysia, turun sembilan sen kepada RM4.51, RHB Capital rugi tiga sen kepada RM5.95 manakala Axiata merosot lima sen kepada RM5.81.

Maybank Investment Bank Research berkata aktiviti pengambilan untung muncul selepas FBM KLCI tidak melepasi paras ketahanan penting pada 1,727.

Sementara itu, di Tokyo, penanda aras Nikkei 225 ditutup 1.15 peratus lebih rendah pada akhir dagangan pagi apabila pengeksport terjejas daripada pengukuhan yen yang kembali meningkat berbanding dolar US ke paras menghampiri 107.81.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 403 berbanding 257, dengan 343 kaunter tidak berubah, 708 kaunter tidak diniagakan manakala 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 834.23 juta saham bernilai RM549.45 juta.

Di papan skor, Indeks FBM Emas merosot 35.72 mata kepada 11,916.82, Indeks FBMT100 susut 35.66 mata kepada 11,610.81 manakala Indeks FBM Emas Shariah susut 31.72 mata kepada 12,510.31. FBM 70 susut 54.06 mata kepada 13,283.93, manakala FBM Ace meningkat 29.66 mata kepada 5,736.95.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 49.54 mata kepada 14,823.00, Indeks Perusahaan turun 3.14 mata kepada 3,262.79 dan Indeks Perladangan turun 4.18 mata kepada 7,817.34.

Antara kaunter aktif, Vivocom, EA Holdings dan Pesona masing-masing menokok satu sen kepada 32 sen, 12 sen dan 39.5 sen manakala Eka Noodles dan Tiger masing-masing kekal pada 13.5 sen dan lima sen. - BERNAMA

Berita Harian X