Selasa, 5 April 2016 | 10:41pm

Emirates, Malaysia Airlines perkenal 15 laluan domestik baharu

KUALA LUMPUR: Emirates dan Malaysia Airlines mengukuhkan kerjasama mereka dengan memperkenalkan 15 laluan domestik yang baharu termasuk memperkenalkan kelebihan kekerapan penerbangan di bawah perjanjian perkongsian kod mereka.

Naib Presiden Eksekutif Emirates/Ketua Pegawai Komersil Thierry Antinori, berkata laluan itu termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Baru, Kuantan, Kuala Terengganu, Johor Baharu, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan.

Katanya, perkongsian kod dengan Malaysia Airlines akan memberikan opsyen perjalanan lebih baik kepada penumpang syarikat penerbangan itu untuk melawat 15 tempat di Malaysia serta destinasi lain di rantau ini dengan kemudahan sambungan di Kuala Lumpur.

"Pelancong dari rantau ini juga akan mendapat manfaat melalui rangkaian yang diperluaskan termasuk 90 destinasi di seluruh Eropah, Asia Barat, Afrika dan Amerika," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Emirates Skywards dan Enrich Malaysia Airlines, ahli penerbangan kerap syarikat penerbangan itu, akan mendapat mata atau menebus batuan penerbangan antarabangsa dan domestik yang dioperasikan oleh kedua-dua syarikat penerbangan.

Emirates juga mengumumkan akan menawarkan tambang istimewa untuk pelancong di Malaysia, mulai hari ini sampai 8 April bagi perjalanan sehingga 31 Disember depan.

Berita Harian X