Selasa, 5 April 2016 | 7:15pm

Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan pengambilan untung

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan pengambilan untung, susulan prestasi lembap di pasaran ekuiti serantau dengan penurunan harga minyak mentah, kata peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.16 mata kepada 1,718.08 daripada 1,725.24 semasa ditutup pada Isnin.

Saham pandu pasaran yang dibuka 6.24 mata lebih rendah kepada 1,719.00, bergerak antara 1,716.42 dan 1,722.13 sepanjang sesi dagangan.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 453 berbanding 364, dengan 376 kaunter tidak berubah, 516 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.71 bilion saham bernilai RM1.94 bilion daripada 1.50 bilion saham bernilai RM1.73 bilion semalam.

Petunjuk pasaran global Brent Crude turun 98 sen atau 2.5 peratus kepada AS$37.69 setong, yang membawa kepada kejatuhan prestasi semalaman Wall Street dan kelemahan ringgit.

Peniaga berkata, pasaran serantau, termasuk pasaran ekuiti Malaysia, susut berikutan kejatuhan harga minyak dan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati sementara menantikan minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan.

FBM KLCI sebelum ini turut dipengaruhi oleh berita semalaman mengenai indeks AS yang ditutup rendah.

Hong Leong Investment Bank dalam nota berkata harga minyak jatuh lagi, berikutan pelabur kurang yakin sama ada negara pengeluar akan mencapai persetujuan untuk membekukan stok simpanan, bagi menangani lebihan bekalan global yang berterusan.

Pada peringkat tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi, KLCC Property dan Reit, masing-masing susut tiga sen kepada RM7.13, PPB Group merosot 26 sen kepada RM16.44, Digi.com jatuh lima sen kepada RM4.88, MISC Group turun empat sen kepada RM8.88 dan Maxis susut lima sen kepada RM6.37, bagaimanapun IHH Healthcare meraih satu sen kepada RM6.63.

Bagi saham cergas, Eka Noodles naik setengah sen kepada 13.5 sen, Vivocom International susut setengah sen kepada 29.5 sen, AirAsia meningkat empat sen kepada RM1.97 dan AirAsia X menokok 1.5 sen kepada 30.5 sen.

Dalam kalangan kaunter rugi, Genting berkurangan 26 sen kepada RM9.56, manakala Hong Leong Bank dan Frased & Neave, masing-masing merosot 22 sen kepada RM13.40 dan RM20.68.

Pada peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 2.42 peratus kepada 15,732.82 dan Straits Times Singapura turun 1.45 peratus kepada 2,794.23.

Indeks FBM Emas merosot 31.25 mata kepada 11,937.57, Indeks FBMT100 susut 33.10 mata kepada 11,635.07 dan Indeks FBM Emas Syariah jatuh 11.78 mata kepada 12,524.87. FBM 70 naik 17.42 mata kepada 13,291.92, bagaimanapun FBM Ace turun 33.56 mata kepada 5,668.28.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 76.90 mata kepada 14,776.11, Indeks Perusahaan merosot 11.41 mata kepada 3,265.37 dan Indeks Perladangan berkurangan 29.34 mata kepada 7.845.69.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.22 bilion unit bernilai RM1.85 bilion daripada 938.85 juta unit bernilai RM1.64 bilion semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 272.55 juta saham bernilai RM60.45 juta daripada 324.72 juta saham bernilai RM62.84 juta sebelum ini.

Waran lebih rendah kepada 219.16 juta unit bernilai RM31.53 juta berbanding 231.37 juta unit bernilai RM20.56 juta.

Barangan pengguna menyumbang 119.29 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (244.33 juta), pembinaan (92.87 juta), perdagangan dan perkhidmatan (566.74 juta), teknologi (23.47 juta), infrastruktur (9.99 juta), SPAC (33.91 juta), kewangan (44.88 juta), hotel (753 juta), hartanah (51.59 juta), perladangan (22.62 juta), perlombongan (0), REIT (7.23 juta) dan dana tertutup (8,000). - BERNAMA

Berita Harian X