Khamis, 25 Februari 2016 | 3:36pm

OSK Property rancang lancar 3 projek, GDV RM1b

PETALING JAYA: OSK Property, unit perniagaan hartanah OSK Group bercadang melancarkan tiga projek utamanya tahun ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ong Ghee Bin, berkata tiga projek utama itu masing-masing di Kuantan, Pahang; Butterworth, Pulau Pinang; dan Bandar Puteri Jaya, Kedah.

"Bagi projek di Balok, Kuantan dikenali Timurbay, OSK Property menawarkan lebih 700 unit apartmen servis berkeluasan dari 450 hingga 917 kaki persegi yang kini sudah dibuka untuk tempahan. Ia dijual pada harga RM640 sekaki persegi.

"Bagi projek di Butterworth pula, ia membabitkan kediaman bertingkat, juga membabitkan apartmen servis yang akan dilancarkan pada Mei ini. Manakala Bandar Seri Puteri yang akan dilancarkan suku akhir tahun ini pula membabitkan fasa baharu untuk kawasan perbandaran sedia ada.

"Bersandarkan pelancaran tiga projek itu juga, OSK Property menyasarkan jualan tahun ini sebanyak RM1 bilion," katanya kepada media selepas majlis memperkenalkan jenama dan logo baharu OSK Property di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi OSK Group, Datuk Nik Mohamed Din dan Pengarah Eksekutif OSK Group, Ong Ju Xing.

OSK Property adalah jenama baharu unit hartanah OSK Group selepas penggabungan OSK Property Holding Bhd dan PJ Development Holdings.

Berita Harian X