Jumaat, 19 Februari 2016 | 7:15pm

403j unit telefon pintar dijual suku keempat 2015

KUALA LUMPUR: Jualan telefon pintar global meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada 403 juta unit dalam suku keempat tahun 2015 berbanding tempoh yang sama pada 2014, kata Gartner, Inc.

Pengarah Penyelidikan, Anshul Gupta, berkata harga telefon pintar yang lebih murah di pasaran baharu muncul dan permintaan kukuh terhadap telefon pintar premium terus menjadi faktor penentu.

"Harga jenama tempatan dan China yang lebih agresif dalam kategori pertengahan serta rendah membolehkan pengguna untuk menaik taraf kepada telefon pintar yang mampu dimiliki," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dalam tempoh di bawah kajian, hanya Samsung dan Huawei yang menjadi pengeluar telefon pintar daripada lima jenama lain yang mengalami peningkatan jualan, manakala Apple mencatatkan penurunan buat kali pertama.

"Dengan peningkatan jualan sebanyak 53 peratus dalam suku keempat, Huawei mencapai prestasi terbaik dari tahun ke tahun berikutan ketertampakan jenamanya di luar negara.

"Untuk jumlah keseluruhan telefon pintar dalam 2015, Samsung mengekalkan tempat teratas. Tetapi, pasarannya jatuh kepada 22.5 peratus daripada 24.7 peratus dalam 2014, diikuti dengan Apple, yang mana bahagian pasarannya naik kepada 15.9 peratus daripada 15.4 peratus. Bahagian pasaran Huawei menokok kepada 7.3 peratus daripada 5.5 peratus," kata Anshul. - BERNAMA

Berita Harian X