Sabtu, 13 Februari 2016 | 12:20am

Google mantapkan pembangunan kenderaan pandu sendiri

SAN FRANCISCO: Syarikat induk Google, Alphabet Inc mengiklankan puluhan pekerjaan baharu menerusi laman webnya dengan memberi penumpuan khas dalam kepakaran sektor pembuatan.

Sejumlah 30 pekerjaan yang ditawarkan berkaitan dengan projek kereta Google X termasuk jurutera kawalan gerakan, paparan, robotik dan alat pengimbas serta pengurus operasi, peralatan dan pemasaran.

Google yang enggan mengulas lanjut, membuat penafian sebelum ini yang ia terbabit dalam pembuatan kereta.

Namun, ramai dalam kalangan pakar industri yakin syarikat teknologi gergasi itu akan bekerjasama dengan pengeluar kereta terkemuka, menerusi pembekalan perisian bagi merintis industri automotif dengan sepenuhnya.

Tawaran pekerjaan itu juga untuk melihat sejauh mana perkakasan Google mampu menyumbang kepada sektor pembuatan kereta pada masa depan.

Pembangunan kereta pandu sendiri kini menjadi keutamaan kepada pembuat kereta tradisional, malah syarikat teknologi terkemuka seperti Apple Inc, Uber Technologies Inc dan juga pembekal auto.

Pada Januari, presiden bagi projek kereta pandu sendiri Google, John Krafcik, berkata, beliau mahu membentuk satu kerjasama dengan pembuat dan pembekal kereta terkemuka pada tahun ini bagi mempercepatkan projek berkenaan.

Google turut menawarkan pekerjaan lain yang berkaitan dengan pembuatan, sekali gus menunjukkan skop sektor berkenaan yang semakin meluas. - Reuters

Berita Harian X