Khamis, 11 Februari 2016 | 1:20pm

Bursa Malaysia rendah akhir urus niaga pagi

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah pada akhir urus niaga pagi hari ini, menjejaki prestasi serantau dengan sentimen terjejas oleh halangan luar.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.63 mata kepada 1,641.78 berbanding 1,644.41 pada penutupan semalam selepas bergerak antara 1,645.50 dan 1,638.88 mata.

Indeks utama dibuka 0.19 mata lebih tinggi kepada 1,644.60 pada 9 pagi.

Kedudukan pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 379 berbanding 195, manakala 266 kaunter tidak berubah, 909 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 644.83 juta saham bernilai RM483.41 juta.

Seorang peniaga berkata kebanyakan pasaran ekuiti Asia meneruskan kejatuhan selepas kenyataan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen mengenai dasar kadar faedah dan turun naik harga minyak yang berterusan.

"Kebimbangan terhadap pertumbuhan dunia juga mendorong lebih banyak kelemahan jangka pendek," katanya.

Bagi bursa serantau, Nikkei 225 Jepun susut 2.31 peratus kepada 15,731 mata, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 3.95 peratus kepada 18,526.03 mata manakala Kospi Korea Selatan merosot 2.95 peratus kepada 1,861.26 mata.

Di papan skor tempatan, Indeks FBM Emas susut 17.71 mata kepada 11,394.86, Indeks FBMT100 turun 14.95 mata kepada 11,103.85, FBM Emas Shariah turun 24.99 mata kepada 12,182.82, FBM 70 susut 6.62 mata kepada 12,632.84, namun FBM Ace meningkat 7.33 mata kepada 5,862.90. Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 18.45 mata kepada 7,677.68, Indeks Perusahaan menokok 2.81 mata kepada 3,230.04 manakala Indeks Kewangan turun 37.82 mata kepada 13,812.89.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank susut tujuh sen kepada RM8.52, Public Bank turun empat sen kepada RM18.44, IHH rugi dua sen kepada RM6.50, Petronas Chemicals menambah empat sen kepada RM6.98 manakala TNB tidak berubah pada RM13.20. Bagi kaunter paling rugi, KESM susut 29 sen kepada RM4.43, Ajinomoto rugi 25 sen kepada RM8.60, Nestle merosot 20 sen kepada RM74.80 dan Latitude Holdings turun 16 sen kepada RM6.51.

Antara kaunter aktif, Tiger Synergy susut setengah sen kepada enam sen, XOX Bhd turun satu sen kepada 18 sen, Berjaya Corporation menokok satu sen kepada 41 sen dan Cliq Energy kekal pada lima sen. - BERNAMA

Berita Harian X