Jumaat, 5 Februari 2016 | 11:43am

Conoco kurangkan dividen, kali pertama dalam 25 tahun

ConocoPhillips mengurangkan dividen suku tahunan buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun berikutan kejatuhan berterusan harga minyak mentah. - Foto Reuters
ConocoPhillips mengurangkan dividen suku tahunan buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun berikutan kejatuhan berterusan harga minyak mentah. - Foto Reuters

NEW YORK: ConocoPhillips, syarikat minyak bebas terbesar Amerika Syarikat (AS) mengurangkan dividen suku tahunan buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun berikutan kejatuhan berterusan harga minyak mentah.

Saham ConocoPhillips, yang melaporkan kerugian suku tahun yang lebih besar daripada jangkaan, jatuh empat peratus kepada AS$37.08 (RM153.08) .

Harga minyak mentah dunia telah menurun kira-kira 70 peratus daripada paras tertingginya pada tahun 2014 iaitu lebih daripada AS$100 (RM412.83) setong, menghakis keuntungan hampir semua pengeluar minyak dan menghadkan keupayaan mereka untuk memberikan tunai kepada pemegang saham.

Exxon Mobil Corp, syarikat minyak yang diniagakan secara awam terbesar di dunia, mencatatkan keuntungan suku tahun paling sedikit dalam tempoh lebih sedekad Selasa lalu dan berkata, ia akan memperlahankan pembelian balik saham. Noble Energy Inc minggu lalu mengurangkan dividennya.

Dengan harga minyak kini berlegar pada kira-kira AS$30 setong (RM123.82), pengeluar mengurangkan pelaburan dalam telaga minyak dan projek-projek baharu, mencetuskan satu lagi gelombang besar sekatan perbelanjaan.

ConocoPhillips semalam menurunkan sasaran perbelanjaan modal tahun 2016 sebanyak 17 peratus kepada AS$6.4 bilion (RM26.419 bilion) dan ramalan kos operasi sebanyak sembilan peratus kepada AS$7 bilion (RM28.89 bilion).

Pengurangan ini adalah kali yang kedua dalam tempoh dua bulan.

ConocoPhillips juga mengurangkan dividen suku tahunan kepada 25 sen sesaham saham dari 74 sen. Itu adalah pengurangan pertama sekurang-kurangnya sejak tahun 1991, menurut laman web syarikat itu, yang berpisah dari penapis Phillips 66 pada tahun 2012, bagi meyakinkan pelabur untuk pertumbuhan dividen yang lebih cepat.

"Kami percaya adalah langkah yang berhemat merancang untuk harga yang lebih rendah bagi tempoh yang lebih lama," kata Ketua Eksekutif, Ryan Lance dalam satu kenyataan.

Pemotongan dividen dan pengurangan perbelanjaan akan membantu ConocoPhillips menambah AS$4.4 bilion (RM18.1643 bilion) kepada aliran tunai bersih pada tahun 2016, katanya.

Syarikat itu berkata, ia menjangka pengeluaran untuk tahun 2016 tidak berubah dari tahun 2015, tidak termasuk kesan daripada jualan aset.

Ia menghasilkan 1.589 juta tong minyak sehari (mmboe/d) pada tahun 2015.

ConocoPhillips meramalkan pengeluaran suku tahunan semasa sebanyak 1.54-1.58 mmboe/d, lebih rendah daripada 1.599 mmboe/d yang dihasilkannya daripada operasi berterusan pada suku keempat.

Kerugian bersih syarikat meningkat kepada AS$3.5 bilion (RM14.45 bilion), atau AS$2.78 sesaham (RM11.47), pada suku keempat berakhir 31 Disember, dari AS$39 juta (RM160.92 juta), atau tiga sen sesaham, pada tahun sebelumnya.

Tidak termasuk caj kemerosotan AS$2.7 bilion (RM11.14 bilion) dan lain-lain, ia kerugian 90 sen sesaham, lebih besar daripada anggaran 65 sen, menurut Thomson Reuters I/B/E/S.

Sehingga penutup kelmarin iaitu AS$38.63 (RM159.41), saham Conoco yang telah menurun kira-kira 40 peratus dalam tempoh 12 bulan yang lalu. - Reuters

Berita Harian X