Rabu, 3 Februari 2016 | 2:41pm

Public Bank catat keputusan kewangan kukuh

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd buat pertama kali mencatatkan keuntungan sebelum cukai melepasi paras RM6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Pada tahun kewangan itu, keuntungan sebelum cukai kumpulan perbankan ketiga terbesar Malaysia dari segi aset itu meningkat 11.6 peratus kepada RM6.49 bilion berbanding RM5.81 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2014.

Keuntungan bersihnya meningkat 12 peratus kepada RM5.06 bilion berbanding RM4.52 bilion.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji meningkat sebanyak 13.8 peratus kepada RM19.2 bilion berbanding RM16.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2015, Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.49 bilion, meningkat 19.0 peratus berbanding RM1.25 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2014.

Keuntungan sebelum cukai pada suku dikaji meningkat sebanyak 18.5 peratus kepada RM1.86 bilion.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata meskipun ekonomi Malaysia berdepan cabaran berikutan harga komoditi yang rendah, turun naik dalam pasaran kewangan dan persekitaran luaran yang lemah, kumpulan perbankan itu terus mencatatkan prestasi yang kukuh.

Beliau berkata, Public Bank berjaya mencatatkan pertumbuhan pinjaman yang baik iaitu sebanyak 11.6 peratus dan pertumbuhan deposit sebanyak 8.9 peratus.

Keputusan itu, katanya, mencerminkan pelaksanaan strategi pertumbuhan organik kumpulan yang konsisten yang mana terus menghasilkan keputusan yang baik untuk pelanggan dan pemegang sahamnya.

"Dengan prestasi kewangan yang baik ini, kumpulan bukan saja terus mempertahankan rekod perolehan keuntungan yang belum dipecahkan selama 49 tahun sejak mula beroperasi, malah ia begitu menonjol di kalangan bank yang setara dengannya di Malaysia dengan pencapaian pulangan ekuiti bersih tertinggi sebanyak 17.8 peratus, selain menjadi yang terbaik dalam kualiti aset dan kecekapan kos," katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan prestasi Public Bank yang membanggakan itu, Lembaga Pengarahnya mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 32 sen, menjadikan jumlah dividen bagi tahun 2015 kepada 56 sen.

Jumlah dividen dibayar dan belum dibayar bagi tahun 2015 berjumlah RM2.16 bilion dan mewakili jumlah pembayaran sebanyak 42.7 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan bagi tahun 2015.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Public Bank mengekalkan momentum pertumbuhan pinjaman yang kukuh pada kadar 11.6 peratus, sementara jumlah deposit pelanggannya mencatatkan kadar pertumbuhan yang sihat sebanyak 8.9 peratus.

Pendapatan bukan faedah kumpulan meningkat sebanyak 22.4 peratus pada 2015 berbanding 2014 disumbang oleh pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan unit amanah, urus niaga berkaitan dengan tukaran asing dan pendapatan fi daripada operasi perbankan.

Public Bank terus menjadi kumpulan perbankan paling cekap di Malaysia dengan nisbah kos kepada pendapatan yang rendah sebanyak 30.5 peratus berbanding nisbah purata kos kepada pendapatan industri perbankan sebanyak 45.5 peratus.

Keuntungan sebelum cukai bagi operasi luar negaranya berkembang sebanyak 32.5 peratus kepada RM572.2 juta pada 2015, menyumbang sebanyak 8.8 peratus kepada keuntungan sebelum cukai keseluruhan kumpulan bagi tahun 2015.

Melangkah ke hadapan, Teh berkata, Public Bank akan terus memberi tumpuan pada strategi pertumbuhan organik dalam perniagaan terasnya iaitu perbankan runcit dan pembiayaan, sambil mengekalkan dasar kredit berhemat, serta terus mendukung urus tadbir korporat yang kukuh.

Dalam berdepan cabaran mendatang, beliau berkata, tumpuan utama kumpulan ialah untuk mempercepatkan inovasi perniagaan dan meneruskan kecekapan operasinya bagi menyempurnakan komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan kepada semua pemegang sahamnya.

"Sejak 49 tahun yang lalu, Public Bank telah membuktikan kedudukannya selaku peneraju dalam industri perbankan dan kewangan.

"Memasuki ulang tahun ke-50 pada tahun ini, kami yakin bahawa kami berada pada kedudukan yang amat baik untuk pertumbuhan yang mapan pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X