Selasa, 2 Februari 2016 | 8:55pm

SKMM agih dua jalur spektrum menjelang Ogos

KUALA LUMPUR: Dua jalur spektrum - 900MHz dan 1800MHz - akan diagihkan semula kepada empat pengusaha komunikasi menjelang Ogos tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie, berkata langkah itu selaras keputusan kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber spektrum melalui pengagihan semula dan bidaan.

"Kedua-dua jalur spektrum berkenaan diperuntukkan kepada Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile bagi tempoh 15 tahun dengan bayaran fi yang masih belum ditentukan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, empat pengusaha itu dipilih kerana mempunyai asas infrastruktur yang boleh diperluaskan untuk meningkatkan daya saing dalam industri komunikasi.

Peruntukan penuh blok spektrum baharu itu dijangkakan bermula 1 Julai 2017.

"Pengagihan semula mengambil kira pembangunan sektor ini dan negara secara keseluruhannya. Secara khusus keutamaan diberi terhadap liputan komunikasi, kualiti perkhidmatan dan harga perkhidmatan yang berpatutan.

"Walaupun bayaran fi akan dikenakan untuk spektrum ini, kami menyedari bahawa pengusaha memerlukan modal yang mencukupi untuk memperkenalkan dan memperluaskan perkhidmatan baharu," katanya.

Halim berkata, pengagihan semula itu akan memberi lebih manfaat kepada pengusaha yang terbabit dari segi kepastian tempoh masa untuk penggunaan spektrum.

Katanya, pembayaran akan dibuat secara berfasa, sama seperti spektrum 3G sebelum ini, untuk membolehkan pengusaha memperluaskan perkhidmatan dengan tidak membebankan pengguna.

"SKMM juga akan mula mengkaji penggunaan spektrum yang optimum bagi semua jalur spektrum lain yang berkaitan seperti jalur 700MHz, 2300MHz, 2600MHz dan sebagainya menjelang akhir 2016," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X