Isnin, 1 Februari 2016 | 9:58pm

Public Mutual agih lebih RM104 juta untuk 4 dana

KUALA LUMPUR: Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank, mengumumkan pengagihan berjumlah lebih RM104 juta untuk empat dana, bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2016.

Dana berkenaan adalah Public Dana Index (2.25 sen seunit), Public Dana Islamic Optimal Growth (1.00 sen seunit), Public Dana Enhanced Bond (4.75 sen seunit) dan Public Dana Money Market (3.00 sen seunit).

Public Dana Index, Public Dana Islamic Optimal Growth dan Public Dana Enhanced Bond adalah dana terbuka kepada Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Public Mutual berkata, semua dana berkenaan diedarkan oleh perunding unit amanah Public Mutual.

Public Mutual, syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia, kini menguruskan lebih daripada 100 dana unit amanah.

Ia juga adalah penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS), yang diluluskan dan menguruskan sembilan dana PRS.

Syarikat berkenaan mempunyai 32 cawangan atau Pusat Khidmat Pelanggan di seluruh negara.

Setakat 31 Disember 2015, jumlah saiz dana yang diuruskan oleh syarikat itu adalah sebanyak RM64.8 bilion.

Berita Harian X