Selasa, 5 Januari 2016 | 5:39pm
LAMAN web Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK).
LAMAN web Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK).

Bank terbesar Indonesia diarah peruntuk surcaj modal tambahan

JAKARTA: Badan pengawas perbankan Indonesia mengarahkan bank besar negara itu memperuntukkan lebih banyak modal tahun ini dalam usaha mengurangkan risiko kepada sektor kewangan.

Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK), dalam laman webnya, menyatakan ia akan menetapkan secara sistematik kedudukan bank (SIB) berdasarkan saiz, saling hubungannya kepada sistem kewangan serta kerumitan proses perniagaan masing-masing.

Di bawah peraturan baharu, SIB bermula 1 Januari lalu perlu memperuntukkan 'surcaj modal' antara 0.25 peratus hingga 0.625 peratus daripada aset wajaran risiko, bergantung kepada seberapa penting institusi berkenaan secara sistemik.

Surcaj itu akan bertambah secara berperingkat setiap tahun sehingga 2019, apabila ia mencecah satu hingga 2.5 peratus daripada aset wajaran risiko institusi terbabit.

'Surcaj modal' itu adalah tambahan kepada peraturan kecukupan modal ke atas bank yang bermula pada minimum lapan peratus daripada aset wajaran risiko.

OJK mungkin mengenakan surcaj tambahan satu peratus jika bank didapati menjadi lebih sistematik berbanding klasifikasi sedia ada OJK.

Peraturan itu adalah sebahagian langkah Indonesia untuk melaksanakan sepenuhnya Basel III, rangka kerja kawal selia kecukupan modal bank, kata OJK.

Minggu lalu, bank pusat republik itu memperkenalkan keperluan baharu bagi bank untuk mempunyai penampan modal berlawanan kitaran.

Ia sudah pun mengenal pasti beberapa bank yang penting secara sistematik, menurut pengawal selia perbankan OJK, Mulya Siregar, dipetik sebagai berkata oleh Investor Daily.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan bank berkenaan.

Bank terbesar Indonesia dari segi aset adalah Bank Mandiri, Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Negara Indonesia. - Reuters

Berita Harian X