Selasa, 29 Disember 2015 | 9:35pm

Pavilion REIT beli Intermark Mall RM160j

KUALA LUMPUR: Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) dalam proses membeli The Intermark Mall di sini pada pertimbangan tunai RM160 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pavilion REIT berkata pemegang amanah, AMTrustee Bhd memeterai perjanjian jual beli bagi pihaknya dengan The Intermark Sdn Bhd untuk pengambilalihan bangunan runcit enam tingkat dengan keluasan lantai strata 31,348 meter persegi.

Pengurus Pavilion REIT Management Sdn Bhd, berhasrat membiayai pembelian yang dicadangkan itu menerusi hutang, katanya.

"Pengurus berhasrat menyediakan agihan yang tetap dan stabil kepada pemegang unit Pavilion REIT selain mencatat pertumbuhan jangka panjang dalam nilai aset bersih seunit Pavilion REIT," kata Pavilion REIT.

Ia berkata, pengambilalihan yang dicadangkan itu dijangka selesai pada suku pertama 2016 dan apabila selesai kelak akan memperbesar portfolio pelaburan hartanah Pavilion REIT kepada RM4.8 bilion daripada RM4.6 bilion setakat 30 Sept 2015," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X