Selasa, 29 Disember 2015 | 11:28am

Saham Asia lemah, harga minyak mentah menyusut

TOKYO: Saham Asia sedikit lemah hari ini, dengan penurunan dalam ekuiti Jepun dan Korea Selatan berikutan penyusutan semula harga minyak mentah dan sentimen pelabur yang semakin reda.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI, tidak berubah dan dijangka kerugian sekitar 12 peratus untuk tahun ini.

Nikkei Jepun kerugian 0.3 peratus dan KOSPI Korea Selatan jatuh 0.4 peratus.

Saham Australia menongkah arus dengan meningkat 0.4 peratus.

Semalam, harga bagi kedua-dua minyak mentah Brent dan Amerika Syarikat (AS) turut jatuh lebih tiga peratus, menterbalikkan pemulihan dan mengheret saham tenaga AS ke bawah 1.8 peratus disebabkan prestasi paling teruk dalam sektor utama S&P.

Brent berada pada AS$36.60 setong mendekati paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu AS$35.98 , minggu lalu.

Dow Jones susut 0.1 peratus dan S&P 500 jatuh 0.2 peratus dalam dagangan semalaman, yang disambung semula selepas cuti Krismas.

Bagaimanapun, aktiviti dijangka kekal lemah sehingga selepas cuti panjang hujung minggu sempena Tahun Baharu.

Bagi mata wang, dolar menyusut 0.1 peratus kepada 120.33 yen.

Dolar AS dilemahkan oleh pengambilan untung selepas Rizab Persekutuan bulan ini menaikkan kadar faedah untuk kali pertama dalam tempoh sembilan tahun.

Pasaran mata wang akan menunggu Fed untuk menghantar isyarat terbaharu jika diadakan kenaikan kadar kedua pada tahun 2016, bagi potensi sokongan kepada dolar.

Euro pula meningkat 0.1 peratus kepada AS $1.0977. - REUTERS

Berita Harian X