Khamis, 24 Disember 2015 | 11:30pm

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.7 peratus tahun depan

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sederhana 4.7 peratus tahun depan dan meningkat kepada lima peratus pada 2017, disokong oleh pengukuhan eksport.

Rakan Urusan Negara Deloitte Malaysia, Tan Theng Hooi, berkata ekonomi Malaysia berhadapan persekitaran mencabar berikutan kejatuhan berterusan harga eksport komoditi, pergolakan pasaran tukaran asing, kejutan komoditi-mata wang dan kelembapan ekonomi China.

Di peringkat domestik, katanya, penyusutan nilai ringgit, peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan dan isi rumah serta meningkatnya kemungkinan kesukaran membayar balik hutang memberikan tinjauan ekonomi yang suram.

"Bagaimanapun, menurut Bank Dunia, permintaan domestik Malaysia diunjurkan berkembang dan ia kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dalam konteks kelemahan permintaan global," katanya mengulas terbitan pertama Tinjauan Ekonomi Malaysia Deloitte bertajuk 'Meraih kemenangan dalam dunia yang berubah'.

Deloitte dalam laporannya itu menjangkakan pertumbuhan ekonomi global meningkat kepada 3.6 peratus pada 2016, namun pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi sedang membangun diunjurkan berkembang lebih perlahan.

Ia disebabkan faktor seperti kemerosotan harga komoditi, pengurangan aliran masuk modal serta tekanan ke atas mata wang.

Laporan baharu itu juga mencerminkan impak negatif kelembapan berterusan ekonomi China ke atas ekonomi Malaysia, yang merangkumi lebih sembilan peratus eksport domestik keseluruhan.

Tempias kelembapan di China juga memberikan pengaruh kepada ekonomi yang berdagang secara intensif bersama ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Pertumbuhan perlahan China dan langkah menyeimbangkan semula ekonominya sudah pun memberikan impak negatif terhadap harga komoditi antarabangsa, dengan tempiasnya dihadapi Malaysia dari segi dagangan eksport dan pertumbuhannya sebagai pengeluar komoditi utama.

Theng Hooi berkata, perbelanjaan swasta di negara ini dijangka berhadapan cabaran daripada penurunan keyakinan pengguna, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kemerosotan pertumbuhan kredit isi rumah serta isyarat kelembapan dalam pasaran tenaga kerja.

Tahun ini, katanya, sentimen perniagaan dijejaskan oleh prospek kurang memberangsangkan bagi eksport, kemerosotan nilai ringgit, kejatuhan harga saham dan penurunan kapasiti pembuatan.

Namun, beliau menegaskan, peningkatan dalam aktiviti eksport pada 2016 akan membawa berita gembira kepada pelabur.

"Walaupun pertumbuhan global tidak menentu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan oleh Bank Dunia akan merekodkan pertumbuhan 4.5 peratus.

"Selain itu, Laporan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia menjamin Malaysia boleh menimbang pembaharuan berstruktur untuk meningkatkan output bagi mengukuhkan sentimen pelabur," kata Theng Hooi, yang juga Ketua Penasihat Kewangan Deloitte Malaysia.

Sebagai pengeksport kedua terbesar gas asli cecair (LNG) dan pengeluar minyak kedua terbesar di Asia Tenggara, sektor minyak dan gas Malaysia sentiasa menjadi pemacu utama ekonomi dengan menyumbang sekitar 20 peratus kepada KDNK.

Mengulas tinjauan industri minyak dan gas di Malaysia, Ketua Bahagian Tenaga dan Sumber Deloitte Malaysia, Nizar Najib berkata, dalam jangka terdekat, industri dijangka menyaksikan beberapa penggabungan bagi menangani harga minyak yang rendah.

"Kejatuhan harga minyak memaksa syarikat minyak dan gas menyemak semula secara serius daya maju ekonomi projek berintensifkan modal atau menangguhkannya," katanya.

Berita Harian X