Rabu, 23 Disember 2015 | 12:36am

Anak syarikat YTL Power bekal tenaga di Jawa Barat

Pengarah Urusan YTL Power, Tan Sri Francis Yeoh.
Pengarah Urusan YTL Power, Tan Sri Francis Yeoh.

KUALA LUMPUR: PT Tanjung Jati Power Company Ltd, anak syarikat YTL Power International Bhd, memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan kumpulan tenaga milik kerajaan Indonesia, PT PLN (Persero), bagi membekalkan tenaga menerusi jana kuasanya di Jawa Barat.

Loji jana kuasa arang batu Tanjung Jati bernilai AS$2.7 bilion itu terletak di Cirebon, Indonesia bakal menjadi pelaburan kedua YTL Power, yang dimiliki menerusi pegangan 80 peratus dalam anak syarikatnya itu

YTL Power dalam kenyataan di sini, hari ini, menyatakan perjanjian itu dimeterai kelmarin bagi menyatakan semula dan meminda PPA asal pada 2 April 1997 untuk pembinaan dua jana kuasa arang batu berkapasiti 660 Megawatt (MW) serta menjual tenaga yang dijana daripada kemudahan terbabit kepada PLN.

Katanya, PPA itu bertempoh 30 tahun dan akan tamat pada 2051, iaitu pada ulang tahun ke-30 tarikh operasi komersial loji terbabit.

"Projek berkenaan dijangka menyumbangkan positif kepada pendapatan Kumpulan YTL Power," tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power, Tan Sri Francis Yeoh, berkata projek itu akan menggunakan teknologi loji arang batu termaju dan bakal menjadi antara sistem penjanaan tenaga paling cekap di Indonesia.

Katanya, projek berkenaan adalah sebahagian daripada sasaran dalam program 35,000 MW yang ditetapkan kerajaan Indonesia di bawah '9 Agenda Utama'.

"YTL Power akan berusaha membantu memenuhi sasaran Presiden Jokowi untuk mewujudkan 35,000MW ke grid dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Pada 2004, syarikat itu membeli 1,220MW projek Jawa Power, yang kini dilaksanakan, beroperasi dan diselenggarakan menerusi anak syarikatnya, PT YTL Jawa Timur.

Mei lalu, Presiden Jokowi melancarkan program pembinaan loji jana kuasa Indonesia 35,000 MW yang menyasarkan untuk memenuhi keperluan tenaga di negara itu dalam tempoh lima tahun.

Berita Harian X