Jumaat, 18 Disember 2015 | 5:11pm

Eksport produk bioteknologi dijangka naik kepada RM2b

KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Mohd Nazlee Kamal. - Foto Hafiz Sohaimi
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Mohd Nazlee Kamal. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Jumlah pendapatan eksport produk bioteknologi dijangka meningkat kepada RM2 bilion tahun depan berbanding RM1 bilion tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp), Datuk Mohd Nazlee Kamal, berkata industri kesihatan menyumbang sebanyak 70 peratus daripada jumlah pendapatan eksport dan 30 peratus lagi disumbangkan oleh makanan serta segmen lain.

"Syarikat bioteknologi mendapat manfaat melalui faktor pertukaran asing disebabkan ringgit yang lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Kos pengeluaran tetap sama dan syarikat-syarikat mendapat lebih ringgit berikutan produk yang dijual dalam dolar AS," katanya kepada pemberita selepas persidangan mengenai 'Sesi Rangkaian Pelaburan Bioekonomi 2015' di sini, hari ini.

Sesi itu yang mengumpulkan wakil daripada syarikat bioteknologi dan institusi kewangan, bertujuan untuk mencari mekanisme pembiayaan bagi syarikat yang mahu bermula, syarikat pertengahan dan syarikat yang sudah matang.

Nazlee berkata, sesi rangkaian hari ini dijangka membantu syarikat bioteknologi mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan disebabkan mekanisme pembiayaan sekarang hanya meliputi 10 peratus daripada kos projek.

Mengenai pelaburan bioteknologi, beliau berkata Malaysia meraih kira-kira RM4 bilion tahun ini tetapi untuk tahun depan, pelaburan itu dijangka berkurangan kepada RM2 bilion.

"Ini disebabkan oleh pelbagai faktor ekonomi global. Bagi tahun depan, kami menjangkakan 70 peratus daripada pelaburan adalah bersifat domestik dan 30 peratus adalah pelaburan langsung asing," katanya.

Dari 2011 sehingga September 2015, BiotechCorp memperoleh pelaburan menghampiri RM25 bilion, melepasi sasaran RM9 bilion yang ditetapkan oleh Polisi Malaysia Bioteknologi, katanya.

Nazlee berkata, sebanyak RM5 bilion pelaburan telah pun menjadi kenyataan manakala baki RM25 bilion lagi akan direalisasikan secara beransur-ansur.

Mengenai prospek, katanya, BiotechCorp akan memberi tumpuan kepada 48 projek Program Transformasi Bioekonomi, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM18.2 bilion, yang mana 15 projek berkenaan adalah projek berimpak tinggi.

"Sejumlah 15 projek itu dijangka menyumbang RM3 bilion kepada pendapatan kasar negara pada tahun depan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X