Khamis, 17 Disember 2015 | 1:25pm

MPC terus kaji lesen perniagaan, tingkat kawal selia

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan terus mengkaji semula pelbagai lesen perniagaan bagi memastikan kawal selia ditambak baik, dan pembaharuan boleh dilaksanakan untuk merealisasikan sasaran penjimatan kos pematuhan sebanyak RM1 bilion setahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Razali Hussain, berkata antara Januari dan Oktober, sejumlah RM432 juta dijimatkan menerusi pelaksanaan Amalan Kawal Aturan Baik (GRP) yang dilaksanakan pada 2011, dan sejak itu 32 lesen perniagaan dimansuhkan.

"Isu sama dalam kalangan agensi kerajaan ialah kekangan yang dihadapi, kami perlu tangani isu pelarasan dan penyepaduan antara agensi," katanya pada sidang media sempena forum sehari mengenai 'Respons Pembaharuan Kawal Aturan kepada Cabaran ekonomi' di sini, hari ini.

Forum itu anjuran bersama MPC dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), akan memberi tumpuan ke atas pembaharuan kawal aturan negara, pengalaman mengenai respons kepada cabaran ekonomi domestik dan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pembaharuan kawal aturan akan membantu negara memberi tindak balas yang lebih baik dalam menangani cabaran ekonomi.

"Pelaksanaan pembaharuan kawal aturan adalah proses berterusan, yang sangat relevan semasa berlaku krisis. Banyak pembaharuan, sebagai contoh, didorong oleh kelembapan ekonomi, atau krisis seperti krisis kewangan dunia," katanya semasa merasmikan forum berkenaan.

Ali juga berkata, pembaharuan regim kawal aturan Malaysia perlu bagi menyokong aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. - BERNAMA

Berita Harian X