Rabu, 16 Disember 2015 | 7:15pm

Ringgit teruskan aliran menurun

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas pelabur memberi tumpuan terhadap dolar menjelang pengumuman mengenai kenaikan kadar faedah AS, malam ini.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut harga pada 4.3200/3300 berbanding dolar AS daripada 4.3000/3100, semalam.

Peniaga berkata dolar AS ternyata lebih kukuh hari ini, didorong jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang sememangnya dinantikan ramai.

Penganalisis Penyelidikan Forex Time, Lukwan Otunuga menyifatkan aliran tidak menentu itu juga terus mempengaruhi pasaran tukaran asing.

Ini berikutan tindakan pelabur yang tidak sabar untuk memanfaatkan paras lemah dengan harapan turut sama menikmati impak kenaikan kadar faedah yang menjadi peristiwa kewangan paling dinantikan bagi tahun 2015.

"Ketika sebahagian kelemahan sejak beberapa hari lepas mempengaruhi penurunan mendadak harga minyak mentah, wujud kebimbangan bahawa hasil mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed AS tidak akan memberi kesan ketara," katanya.

Pihak Fed dijangka mengumumkan keputusan mengenai kenaikan kadar faedah itu malam ini, iaitu yang pertama dalam tempoh hampir sedekad.

Pengumuman itu juga dibuat pada akhir mesyuarat dasar selama dua hari.

Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama dunia sewaktu ditutup hari ini.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0630/0709 daripada 3.0561/0639 semalam dan rendah berbanding yen pada 3.5424/5518 daripada 3.5552/5638.

Ringgit bagaimanapun tinggi berbanding pound British kepada 6.4882/4045 daripada 6.5081/5245 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7252/7366 daripada 4.7412/7539 sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X