Rabu, 16 Disember 2015 | 7:54am

KLIA Aeropolis lonjak ekonomi negara

PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGARAH Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SEPANG: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) akan mengumumkan butiran terperinci rancangan pembangunan KLIA Aeropolis, yang bakal mengubah landskap ekonomi kawasan mengelilingi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada tahun depan.

KLIA Aeropolis adalah sebahagian daripada pelan induk pembangunan KLIA bagi menjadikan kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar itu sebagai antara komponen terpenting untuk memangkin Malaysia sebagai ekonomi maju pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali, berkata KLIA Aeropolis yang juga komponen perniagaan bukan aeronautik bagi MAHB adalah penting bagi menyokong sektor aeroangkasa dan industri penerbangan di sekeliling KLIA.

Malah, katanya, KLIA Aeropolis juga akan membantu menyokong aktiviti lain, termasuk perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO); perusahaan kecil dan sederhana (PKS); pembuatan dan perkhidmatan.

"Kami mahu Sepang atau KLIA menjadi bukan sekadar menjadi pusat, malah sebuah kawasan sokongan. Kami tidak akan memindahkan Subang dan mengisinya di KLIA.

"Kami mengakuinya dan sedang berusaha untuk menjadikan situasi lebih baik di sini. Belum ada kemudahan (mencukupi) di KLIA Aeropolis sekarang. KLIA Aeropolis akan membantu memenuhi wawasan negara, selain objektif MAHB sendiri," katanya dalam temu bual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 30 peratus daripada kawasan tanah KLIA Aeropolis seluas 100 kilometer persegi diperuntukkan khusus bagi pembangunan lapangan terbang.

Selain Bangunan Terminal Utama (MTB) KLIA dan klia2, antara binaan lain yang ada di KLIA pada masa ini adalah Pusat Beli-Belah Mitsui, Kompleks Tabung Haji yang sedang dalam pembinaan serta Litar SIC.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan bukan aeronautik MAHB, Badlisham berkata, segmen itu pada masa ini menyumbang separuh kepada pendapatan syarikat.

Bagi pengendali lapangan tradisional, katanya, nisbah perniagaan aeronatik biasanya adalah lebih besar kerana kebanyakan syarikat berkenaan kebiasaannya tidak meneroka segmen komersial.

"Namun, lapangan terbang generasi baharu nisbah (perniagaan bukan aeronatik) sedikit lebih tinggi. Malah, segmen bukan aeronautik biasanya lebih tinggi berbanding segmen aeronautik dan tiada apa yang salah dengannya.

"Menuju ke hadapan, (perniagaan) aeronautik masih lagi menjadi sangat penting bagi kami. Justeru, saya tidak akan mengatakan bahawa (nisbahnya) akan berubah. Kami mahu segmen aeronautik masih lagi menyumbang 50 peratus," katanya.

Bagi mencapai keseimbangan itu, Badlisham berkata, MAHB merancang memperkenalkan inisiatif pengalaman lapangan terbang menyeluruh (TAE) pada tahun depan.

Inisiatif itu, katanya, akan mempromosikan kekuatan MAHB, perkara yang boleh diperbaiki dan inisiatif di belakang pelbagai perkara yang mahu dilaksanakan.

"TAE mustahak kerana ia meletakkan komitmen kepada syarikat untuk menambah baik beberapa perkara tertentu yang memberi kesan bukan hanya kepada penumpang, malah rakan perniagaan MAHB," katanya.

Berita Harian X