Jumaat, 4 Disember 2015 | 3:14pm

TPPA tambah peluang pekerjaan berkualiti - Bank Dunia

PENGARAH Serantau bagi Asia Tenggara The World Bank Group, Dr Ulrich Zachau ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10. - Foto Yazit Razali
PENGARAH Serantau bagi Asia Tenggara The World Bank Group, Dr Ulrich Zachau ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan meningkatkan kemajuan persekitaran perniagaan di Malaysia yang mana memberi manfaat kepada pelabur tempatan dan asing.

Pengarah Serantau bagi Asia Tenggara The World Bank Group, Dr Ulrich Zachau, berkata pelaksanaan perjanjian perdagangan itu akan membawa masuk lebih banyak pelaburan, perdagangan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dari segi kualiti.

Beliau berkata, kualiti pekerjaan lebih baik diwujudkan kerana standard dipertingkatkan dengan tumpuan kepada pengeluaran produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

"Terdapat bukti bahawa kerjasama perdagangan menyumbang kepada pertumbuhan.

"Kami percaya Malaysia akan mendapat lebih manfaat daripada pelaksanaan TPPA dari segi perdagangan, pelaburan dan kewujudan peluang pekerjaan," katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10, hari ini.

Zachau adalah seorang ahli panel pada sidang berkenaan.

Zachau berkata, pihaknya melihat perlaksanaan TPPA juga akan menjadi pelengkap kepada perjanjian perdagangan lain serta pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Sidang Kemuncak Ekonomi Asia ke-10 dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).

Mengulas lanjut, beliau turut menyifatkan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dapat menambah baik persekitaran perniagaan di Malaysia untuk pelabur asing dan tempatan serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Kami (Kumpulan Bank Dunia) percaya integrasi perdagangan global serta keterbukaannya akan menggalakkan pertumbuhan bagi negara-negara yang menyertainya," katanya.

Malah, kata Zachau, Malaysia sebagai sebuah negara ahli TPP juga akan meraih manfaat untuk muncul sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini berbanding negara yang tidak menyertai TPP.

"Apa yang kita boleh harapkan adalah beberapa perubahan dalam perdagangan serta pelaburan dari negara yang belum menyertainya kepada negara ahli pakatan itu," katanya.

Mengulas kesan TPP terhadap Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), beliau berkata kedua-dua blok berkenaan adalah berbeza dari segi kekuatan ekonomi, biarpun ada sesetengah negara anggota ASEAN menyertai TPP.

"TPP lebih kepada menarik kuasa ekonomi besar dari seluruh rantau Asia Pasifik. Ia adalah peluang lumayan yang menjadi sebahagian daripada persekitaran itu," katanya.

Malaysia selaku ahli TPP, boleh membantu memartabatkan AEC dengan mengguna pakai standard tinggi yang dilaksanakan dalam perkongsian itu.

"Standard yang ditetapkan (dalam AEC) tidaklah setinggi berbanding TPP. Bagaimanapun, menerusi pembabitannya dalam TPP, Malaysia berpeluang untuk menarik ASEAN ke arah pelaksanaan standard sedemikian," katanya.

Berita Harian X