Khamis, 3 Disember 2015 | 8:09pm

Penyertaan dalam TPP demi kepentingan negara - Kajian

KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam Perkongsian Trans Pasifik (TPP) adalah demi kepentingan negara, mengikut satu kajian analisis kos faedah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Tanpa penyertaan dalam TPP, akan mendatangkan risiko kepada dasar hubungan erat dan mesra Malaysia dengan negara-negara lain," demikian menurut Analisis Kepentingan Negara (NIA) yang disediakan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Di peringkat politik, laporan itu menyatakan Malaysia dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan kebanyakan negara manakala dari segi urusan ekonomi institusi formal, Malaysia terlibat terutamanya dengan Asean dan rakan dialognya.

Tanpa menyertai perjanjian yang komprehensif seperti TPP, katanya, Malaysia akan menghantar isyarat yang jelas bahawa terdapat negara-negara yang ia ingin menjalinkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang erat pada masa depan, dan negara lain yang ia kurang memberi keutamaan atau tidak langsung.

"Justeru Malaysia melepaskan peluang yang besar untuk mempelbagaikan hubungan ekonominya, yang meningkatkan kemungkinan ia tertakluk kepada pengaruh politik yang tidak seimbang," kata ISIS.

Mengikut NIA, akibat paling langsung dan jelas mengenai Malaysia tidak menyertai TPP ialah ketidakupayaan pengeksport Malaysia mengakses kepada tarif yang rendah atau sifar pasaran eksport Malaysia.

Industri, pada masa ini, yang akan terjejas termasuk minyak sawit, tekstil dan pakaian serta, secara prospektif, komponen automotif.

Minyak sawit, sebagai contoh, Kanada kini mengenakan duti import sebanyak satu peratus terhadap minyak sawit bertapis dan minyak isi rong sawit Malaysia manakala Indonesia, bukan negara yang mengambil bahagian dalam TPP, menikmati keistimewaan Sistem Keutamaan Umum (GSP) Kanada, boleh mengeksport bebas cukai.

Bagi industri tekstil dan pakaian, Amerika Syarikat adalah destinasi eksport paling penting bagi Malaysia, diikuti oleh Jepun dan dengan memilih keluar daripada TPP, Malaysia berisiko mengalami peralihan perdagangan, memandangkan negara-negara yang mengambil bahagian mempunyai akses keutamaan kepada pasaran lain.

Kesan keseluruhan di peringkat negara mungkin tidak kelihatan besar tetapi kos peralihan perdagangan boleh menjadi sangat penting bagi industri-industri tertentu dan untuk pendapatan eksport Malaysia, katanya.

NIA juga menunjukkan pelaburan yang diterima hasil daripada penyertaan TPP berpotensi lebih besar dan dengan itu negara akan kerugian besar sekiranya tidak menyertainya.

Kepentingan masa hadapan Malaysia, iaitu, pelaburan yang dibuat di luar negara, juga tidak dilindungi oleh standard yang lebih tinggi dan peraturan lebih ketat yang perlu dipatuhi negara-negara TPP.

Oleh itu, keputusan untuk tidak mengadakan susulan dengan TPP tidak mungkin dilihat secara positif oleh pelabur asing dan domestik.

"Memandangkan rundingan FTA AS-Malaysia 2005 kini disepadukan ke dalam TPP, syarikat-syarikat AS, pelabur dan bank-bank, khususnya, dijangka negatif," katanya.

Jika Malaysia tidak mengambil bahagian dalam TPP, ia juga tidak mungkin dapat memulakan semula rundingan FTA Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) memandangkan ia mempunyai keperluan dan standard yang sama.

"Oleh itu, kegagalan untuk melaksanakan TPP boleh berubah menjadi ancaman berganda dengan menafikan Malaysia mengakses kepada negara-negara Trans-Pasifik dan Eropah," mengikut kajian NIA itu.

Negara-negara dalam TPP yang telah memuktamadkan perjanjian dengan kedua-dua rantau akan mempunyai kelebihan daya saing berbanding dengan yang tidak.

Enam negara TPP yang telah memuktamadkan perjanjian dengan EU, iaitu, Kanada, Chile, Mexico, Peru, Singapura dan yang paling baru, Vietnam.

Sementara itu, Amerika Syarikat dan EU kini dalam usaha berunding Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Transatlantik (TTIP) dan telah bertemu lebih 10 kali.

Australia, New Zealand, Jepun dan Malaysia telah menyatakan minat untuk sama ada memulakan atau memulakan semula rundingan FTA dan jika TTIP itu selesai, bersama-sama dengan TPP, ia akan menjadi perjanjian terbesar dalam kalangan negara-negara maju, menetapkan standard de facto bagi perdagangan dan pelaburan global.

"Jika Malaysia tidak menyertai TPP, ia mungkin menjadi satu-satunya negara yang berbuat demikian dan juga tidak mendapat perjanjian dengan Kesatuan Eropah," katanya.

Mengikut NIA, TPP juga menyediakan lapisan pertama pertahanan terhadap peningkatan perlindungan dalam bentuk langkah bukan tarif (NTM).

Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) telah secara konsisten melaporkan kenaikan bersih dalam stok perdagangan langkah kawalan sejak 2008, walaupun tarif keseluruhan merosot.

Setakat Mei 2015, sebanyak 1,828 langkah telah berkuat kuasa dan walaupun penarikan balik oleh beberapa orang anggota, yang baru telah ditambah, katanya.

Anggota perjanjian seperti TPP tidak sepenuhnya bebas daripada NTM tetapi dengan prosedur penyelesaian pertikaian, ketelusan peraturan dan aduan, ia dijangka berkurangan, katanya.

Dengan menyertai TPP dan mematuhi syarat-syarat tertentu seperti peruntukan buruh dan alam sekitar, Malaysia mampu menghadkan sejauh mana tertakluk kepada langkah-langkah baru.

Akhir sekali, tanpa TPP, NIA berkata Malaysia tidak akan mempunyai insentif yang mencukupi untuk meliberalisasikan ekonominya dan tidak mungkin dapat melaksanakan pembaharuan ekonomi dan menambah kebajikan rakyat. - BERNAMA

Berita Harian X