Sabtu, 21 November 2015 | 3:49pm

Ringgit dijangka mengukuh minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh lagi minggu depan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan kepastian lebih tinggi terhadap kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember, kata penganalisis.

Pengurus Kanan Bon dan Kajian Ekonomi Hong Leong Bank, Choong Yin Pheng, berkata ringgit dijangka berada dalam aliran pengukuhan.

"Pergerakan ringgit akan banyak bergantung kepada pergerakan dolar AS minggu depan menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar AS bagi suku ketiga," katanya.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata ringgit dan harga minyak mentah mencatat aliran meningkat, yang membawa petanda baik bagi sentimen pasaran tempatan.

Beliau berkata, ringgit mencatat peningkatan lebih baik 2.1 peratus minggu ke minggu kepada 4.3000 memandangkan penggiat mata wang mengambil keuntungan ke atas dolar AS selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed mengatakan langkah pada Disember itu kemungkinan besar akan menjadikan unjuran dasar mengecil.

Mengikut Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.2830/2880 berbanding dolar AS daripada 4.3700/3780 minggu lalu.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0311/0368 daripada 3.0729/0792 dan meningkat berbanding yen kepada 3.4861/4913 daripada 3.5581/5660.

Ia turut mengukuh berbanding pound kepada 6.5363/6461 daripada 6.6507/6633 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5730/5800 daripada 4.6995/7090. - BERNAMA

Berita Harian X