Isnin, 16 November 2015 | 2:48pm

Samalaju sudah tarik 20 projek bernilai RM30b

MENTERI Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi. - Foto Jeakqleyn Yacho
MENTERI Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi. - Foto Jeakqleyn Yacho

BINTULU: Taman Perindustrian Samalaju, di sini yang hingga kini sudah menarik pelaburan mencecah RM30 bilion menerusi 20 projek yang diluluskan, diunjur terus mengekalkan kedudukan sebagai antara destinasi pelaburan utama negara.

Kawasan perindustrian itu yang juga komponen terpenting Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) hingga kini menerima pelaburan membabitkan industri pembuatan dan kejuruteraan berat, termasuk peleburan aluminium, petrokimia, polisilikon dan penjanaaan tenaga.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, berkata perindustrian di kawasan itu turut membantu pertumbuhan sosio-ekonomi setempat melalui kewujudan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan, terutama bagi anak tempatan, selain turut membantu melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja mahir di negeri ini.

Katanya, penyediaan infrastruktur serta bekalan elektrik mencukupi pada kadar kompetitif menerusi dua empangan hidro, Bakun dan Murum menjadi antara faktor mendorong kemasukan pelabur.

"Ada banyak faktor lain yang menarik pelaburan asing (FDI) ke Sarawak, termasuk keyakinan mereka terhadap kestabilan politik kita," katanya ketika mewakili Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Program Lawatan Media Ke Taman Perindustrian Samalaju, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Liaw Soon Eng; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Ekonomi Sarawak (RECODA), Tan Sri Wilson Baya Dandot dan Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Sarawak, Griffith Jones Goba.

Julaihi berkata, kedudukan strategik kawasan perindustrian itu juga turut menjadikannya sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia Timur.

MENTERI Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Nahrawi bergambar bersama delegasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan wakil media selepas melawat Pelabuhan Samalaju, di sini. Ia sebahagian daripada program lawatan ke Taman Perindustrian Samalaju yang juga sebahagian daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
MENTERI Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Julaihi Nahrawi bergambar bersama delegasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan wakil media selepas melawat Pelabuhan Samalaju, di sini. Ia sebahagian daripada program lawatan ke Taman Perindustrian Samalaju yang juga sebahagian daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Selain terletak di kawasan pengeluaran gas cecair asli (LNG) terbesar negara, Taman Perindustrian Samalaju juga berada dalam jaringan Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang dalam pembinaan, malah turut mempunyai kemudahan pelabuhannya sendiri dikenali sebagai Pelabuhan Samalaju.

"Ia sekali gus memudahkan akses ke kawasan perindustrian ini. Dalam konteks pelaburan dan perdagangan, keperluan logistik amat penting, malah kerajaan negeri cukup komited dalam usaha penyediaan sistem perhubungan yang cekap.

"Kita juga peka terhadap rungutan segelintir pelabur mengenai kekurangan penerbangan terus ke Bintulu, selain khususnya dari Kuching yang dianggap sebagai pintu masuk utama ke Sarawak. Kita sedang meneliti perkara itu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Mengulas mengenai prestasi SCORE yang dilancarkan pada 2008, Julaihi berkata, ia mencatatkan pertumbuhan signifikan, malah turut diperakui sebagai wilayah pembangunan ekonomi paling progresif selepas Iskandar Malaysia di Johor.

Beliau turut menjelaskan prestasi cemerlang itu turut didorong oleh pembangunan Taman Perindustrian Samalaju yang kini bertumpu kepada fasa pengembangannya.

"Berkeluasan 8,000 hektar, masih banyak kawasan berpotensi dibangunkan di Taman Perindustrian Samalaju. Bagi kerajaan negeri sendiri, kita memberi fokus utama terhadap kesinambungan pembangunanya kerana peranan pentingnya dalam membantu misi menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Ia juga antara komponen terpenting dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan utama FDI di Malaysia selepas Johor, selain turut membantu melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja mahir dalam kalangan anak tempatan," katanya.

Berita Harian X