Jumaat, 13 November 2015 | 4:55pm

Bukan bermakna Malaysia dijajah semula - Mustapa

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Salhani Ibrahim
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Salhani Ibrahim

lumch@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kehadiran syarikat dari negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) TPP di Malaysia tidak semestinya bermakna negara ini akan dijajah semula.

Sebaliknya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata syarikat berkenaan sebenarnya sudah berada di sini kerana Malaysia sememangnya menggalakkan pelaburan asing.

Selain itu, syarikat tempatan seperti PETRONAS, Axiata, UEM Group, Sapura Kencara, Sime Darby dan beberapa syarikat lagi juga sudah melabur dan beroperasi di beberapa negara seluruh dunia, termasuk negara ahli TPP.

"Sebenarnya, hingga Jun 2015, pelaburan Malaysia di luar negara berjumlah kira-kira RM522 bilion melebihi pelaburan asing di negara kita yang berjumlah RM477 bilion.

"Ini satu realiti yang harus kita sedari, iaitu pasaran Malaysia terhad dan syarikat serta profesional negara ini sudah lama menerokai peluang di luar negara.

"Ramai profesional dan rakyat Malaysia sedang bekerja dalam pelbagai sektor di luar negara termasuklah negara TPP seperti Australia, New Zealand, Singapura dan Brunei. Kehadiran syarikat dan profesional Malaysia di luar negara bukan bermakna kita menjajah negara berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mustapa berkata, penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dapat menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan lebih menarik, selain syarikat tempatan mempunyai peluang lebih besar untuk menerokai pasaran TPP.

Bagaimanapun, beliau akui penyertaan dalam TPP akan ada 'pemenang dan rugi'.

"Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, kerajaan berpendapat faedah penyertaan dalam TPP lebih banyak daripada keburukan.

"Yang membimbangkan kerajaan adalah sekiranya Malaysia tidak menyertai TPP, kita mungkin ketinggalan berbanding negara serantau seperti Vietnam dan Singapura dari aspek pencapaian ekonomi," katanya.

Mengenai kesan kepada model pembangunan ekonomi Malaysia, Mustapa berkata, penyertaan dalam TPP tidak bermakna Malaysia akan menerima sistem ekonomi kapitalis secara keseluruhan.

"Sebaliknya negara ini akan terus menjayakan model pembangunannya sendiri yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif," katanya.

Berhubung dominasi Amerika Syarikat dalam TPPA, Mustapa berkata, Malaysia membuat keputusan untuk menyertai rundingan TPPA selepas mengambil kira manfaat khususnya dari aspek ekonomi yang ditawarkan oleh TPPA di mana saiz pasaran lebih luas membabitkan 800 juta penduduk dengan jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Neggara Kasar (KDNK) bernilai AS$28 trilion.

"Produk Malaysia juga akan mendapat akses pasaran lebih baik di empat negara yang mana kita belum menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru," katanya.

Bagi kesan terhadap hubungan ekonomi antara Malaysia dan China, beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak sama sekali menjejaskan hubungan ekonomi kedua-dua negara berikutan dasar negara ini adalah untuk mewujudkan hubungan baik dengan semua negara.

Berita Harian X