Rabu, 4 November 2015 | 3:39pm

MAVCAP ada dana RM1.4b - Madius Tangau

KUALA LUMPUR: Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) hingga kini mempunyai dana keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion, menjadikannya syarikat dana modal teroka yang mempunyai jumlah pegangan portfolio terbesar dalam industri modal teroka negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata MAVCAP yang juga agensi di bawah seliaan kementeriannya, berperanan membantu syarikat permulaan teknologi melakukan program pelaburan ekuiti secara langsung dan Outsource Partners (OSP).

Hingga kini, ia menawarkan 16 dana OSP dan membuat pelaburan dalam 225 syarikat dalam pelbagai cabang teknologi.

"Selain itu, Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd (KMP) pula melabur dalam syarikat permulaan teknologi sebagai pemegang ekuiti secara purata sebanyak 20 peratus.

"Jangkamasa pelaburan adalah antara lima dan 10 tahun, dengan matlamat akhir untuk membolehkan syarikat berkenaan berjaya disenaraikan di bursa saham melalui tawaran awam permulaan (IPO) bergantung kepada pasaran dan ekonomi semasa," katanya.

Madius berkata demikian menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai strategi dalam menggalakkan syarikat supaya melabur dalam syarikat permulaan teknologi dan pencapaian agensi kementerian dalam menggalakkan pelaburan syarikat sedemikian.

Hingga kini KMP melabur dalam enam syarikat teknologi elektrik dan elektronik dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM50 juta.

"Usaha kerajaan dalam membantu syarikat permulaan teknologi telah bermula sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga kini, melalui bentuk penyediaan dana, kepakaran dan teknologi.

"Antara agensi MOSTI yang turut terbabit ialah Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Biotechnology Corporation (Biotech Corp), SIRIM Bhd, MIMOS Bhd dan Technology Park Malaysia (TPM)," jelas Madius. - BERNAMA

Berita Harian X