Isnin, 2 November 2015 | 7:02pm

X-FAB labur RM500j kembangkan operasi Malaysia

KUALA LUMPUR: X-FAB Silicon Foundries, pembuat wafer silikon terkemuka global dari Jerman merancang melabur RM500 juta hingga 2017 untuk mengembangkan operasinya di negara ini.

Syarikat itu merancang mengembangkan keupayaan dan kapasiti operasinya di Kuching, Sarawak, X-FAB Sarawak Sdn Bhd, bagi memenuhi peningkatan permintaan pelanggannya.

Pelaburan untuk pengembangan operasi itu termasuk perbelanjaan modal RM125 juta bagi tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata operasi X-FAB di Sarawak menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi tempatan dengan memberi pekerjaan kepada lebih 1,000 orang yang mana 80 peratus daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Kami percaya rancangan pengembangan akan menjadi pemangkin terhadap usaha menarik lebih banyak syarikat berteknologi tinggi untuk menubuhkan operasi di negara ini," katanya pada sidang media mengumumkan rancangan pengembangan X-FAB Group di sini, hari ini.

X-FAB Group dengan fokus perniagaan dalam sektor automotif, industri dan aplikasi perubatan mengubah X-FAB Sarawak daripada kemudahan pembuatan untuk produk berasaskan komoditi kepada perniagaan bernilai tambah tinggi untuk produk berjangka hayat lama.

Sejak menjadi sebahagian X-FAB Group pada 2006, kilang di Kuching telah melalui perubahan menyeluruh terhadap kebanyakan portfolio teknologinya, fokus aplikasi, asas pelanggan, kitaran jangka hayat produk dan sistem kualiti.

Berita Harian X