Rabu, 28 Oktober 2015 | 8:19pm

1MDB beri perhatian serius kepada pandangan Raja-Raja Melayu - Arul Kanda

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyatakan syarikat itu memberi perhatian serius kepada pandangan semua pihak, terutama Raja-Raja Melayu, berhubung kontroversi yang menyelubungi syarikat milik negara itu.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berkata syarikat itu juga menghormati pandangan rakyat, kerajaan dan pembangkang dalam isu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

"1MDB kini memberi tumpuan kepada pelan rasionalisasi yang diumumkan pada Jun lepas, untuk mengurangkan hutang syarikat berjumlah RM42 bilion," katanya dalam program khas 'Bernama TV with Arul Kanda' menerusi Astro 502, HyppTV 410 dan www.bernama.com yang akan disiarkan pada 10 malam ini.

Program itu dihoskan bersama penerbit Bernama TV Suriati Sanusi dan Timbalan Ketua Pengarang Bernama (Perkhidmatan Berita ekonomi) Mikhail Raj Abdullah.

Pada 6 Oktober lepas, Raja-Raja Melayu menerusi satu kenyataan mahu supaya siasatan berkaitan 1MDB diselesaikan secepat mungkin dan "tindakan tegas yang sewajarnya" diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan itu berjaya.

Memperjelaskan lebih lanjut tentang pelan rasionalisasi itu, Arul Kanda berkata ia terdiri daripada tiga bahagian utama.

Bahagian pertama membabitkan penjualan ekuiti dalam syarikat tenaga Edra Global Energy Bhd untuk mengurangkan hutang 1MDB antara RM16 bilion dan RM18 bilion.

Bahagian kedua adalah pertukaran hutang dengan ekuiti dengan dana pelaburan kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), yang akan mengurangkan hutang 1MDB sebanyak kira-kira RM16 bilion.

Bahagian ketiga adalah penjualan ekuiti 1MDB dalam Bandar Malaysia bernilai kira-kira RM11 bilion.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan ketidakaturan kewangan, Arul Kanda berkata:

"Kita perlu menegaskan pendirian berdasarkan fakta. Kita tidak boleh bergantung kepada dengar cakap, dakwaan dan kenyataan lain tanpa disokong keterangan serta bukti sewajarnya."

Arul Kanda turut menolak dakwaan bahawa hartawan Jho Low mempunyai kaitan dengan 1MDB, dan berkata ahli perniagaan itu tidak pernah dibayar atau diambil bekerja oleh syarikat berkenaan.

"Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Jho Low adalah penasihat kepada TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu), sebelum saham dipindahkan kepada kerajaan Malaysia dan namanya ditukar kepada 1MDB. Beliau sebenarnya meletak jawatan pada pertengahan Mei 2009 sebelum saham TIA dibeli kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada kontroversi tentang wang yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kaitan dengan 1MDB, Arul Kanda berkata:

"Sudah tentu tidak. Hakikatnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyatakan secara terbuka bahawa wang itu tidak dikeluarkan daripada 1MDB dan dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri."

Mengenai dakwaan bahawa masalah kewangan 1MDB memberi lebih tekanan ke atas ringgit, Arul Kanda berkata berdasarkan ketidaktentuan nilai ringgit bulan lepas, tiada hubung kait antara masalah kewangan 1MDB dan penyusutan nilai ringgit.

"Ringgit dipengaruhi oleh kejatuhan harga minyak, misalnya. Selain itu, kebimbangan bagi pasaran memuncul seperti juga beberapa mata wang lain yang mempunyai kaitan dengan harga komoditi, pasaran memuncul, dan penurunan nilai di China.

"Itu bukanlah untuk menyatakan 1MDB mempunyai kesan sifar. Mungkin terdapat beberapa kesan disebabkan ketidaktentuan, berikutan sedikit ketidakstabilan politik di negara ini yang mempengaruhi mata wang. Ada pelbagai faktor. Untuk menyatakan ia disebabkan sebuah syarikat, saya rasa ia agak keterlaluan," katanya.

Beliau menolak dakwaan bahawa 1MDB gagal dua kali dalam membayar balik hutangnya, dan berkata syarikat itu memberi sepenuh komitmen kepada tanggungjawabnya untuk membayar balik hutang RM42 bilion.

"1MDB tidak pernah gagal dalam membayar balik mana-mana hutangnya. 1MDB sentiasa menepati jadual pembayaran," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X