Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:24am

Ekonomi berkembang kukuh

EKONOMI Malaysia dijangka berkembang kukuh, terutama disokong oleh permintaan domestik. Bagaimanapun, cabaran yang dihadapi ekonomi pada tahun 2015 dijangka berterusan pada tahun 2016.

Secara khususnya, peningkatan ketidakstabilan pasaran kewangan, penurunan harga komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan pertumbuhan perlahan ekonomi China, dijangka memberi kesan langsung serta tidak langsung ke atas ekonomi Malaysia, menerusi perdagangan dan kewangan.

Pertumbuhan global dijangka kekal sederhana pada tahun 2016 dengan peningkatan sederhana daripada 3.1 peratus pada 2015 kepada 3.6 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara maju diunjur meningkat 2.2 peratus, terutama diterajui oleh AS.

Risiko masih tinggi

Dalam pasaran pesat berkembang dan ekonomi membangun, KDNK dijangka meningkat kepada 4.5 peratus, berikutan kemajuan yang beransur, khususnya di Russia dan Brazil. Risiko masih lagi tinggi termasuk pelaksanaan normalisasi dasar monetari AS, pengukuhan berterusan dolar AS, harga komoditi yang rendah, kebimbangan pertumbuhan lebih rendah daripada jangkaan di China dan ketegangan geopolitik Timur Tengah.

Oleh itu, sumbangan sektor luaran kepada ekonomi Malaysia dijangka kekal sederhana pada 2016, dengan akaun semasa mencatat lebihan rendah dalam julat 0.5-1/5 peratus daripada pendapatan negara kasar (GNI).

Berdasarkan situasi ini, momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia akan bergantung kepada permintaan domestik bagi membolehkan negara kekal pada landasan pertumbuhan yang terus kukuh.

Penggunaan swasta adalah komponen terbesar dalam permintaan domestik, menyumbang 3.9 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK benar dalam tempoh separuh pertama 2015.

Aliran positif pelaburan swasta berterusan dalam tempoh separuh pertama 2015 dengan jumlahnya mencapai RM108.5 bilion. Pencapaian ini adalah hasil pelbagai inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pelaburan swasta.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama ekonomi dan peluang pekerjaan. Pada tahun 2014, sektor ini menyumbang 54 peratus daripada KDNK, 15 peratus daripada jumlah eksport dan menyediakan lapan juta pekerjaan.

Capai kemajuan besar

Sektor eksport mencapai kemajuan besar dalam mengembangkan kombinasi produk, mengekalkan pasaran tradisional dan bertapak kukuh dalam pasaran baharu dan pesat berkembang. Bagaimanapun, kebimbangan utama ialah ketidakupayaan pengeksport tempatan untuk mengukuhkan kewujudan dalam rantaian nilai global, terutama bagi teknologi terkini dan kawasan pertumbuhan baharu.

Dari segi modal insan, walaupun pelaburan besar dibuat dalam pendidikan dan latihan kemahiran, cabaran masih wujud terutama isu berkaitan pendidikan berkualiti, penguasaan bahasa Inggeris, bakat yang diperlukan industri, penghijrahan keluar bakat, daya saing, kemahiran insaniah, ketidakpadanan kemahiran dan sering bertukar kerja.

Secara keseluruhan, semua program, projek dan inisiatif kerajaan dirancang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Meskipun usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan kemudahan sedang dilaksanakan, rakyat terus menghadapi beberapa isu dan cabaran dalam kehidupan seharian mereka.

Bagi tempoh 2011 hingga 2014, inflasi kekal sederhana pada kadar purata 2.5 peratus setahun. Dalam tempoh lapan bulan pertama 2015, inflasi berada pada 1.9 peratus. Walaupun inflasi kekal rendah, kenaikan harga terutama makanan dan minuman bukan alkohol memberi kesan kepada kesejahteraan kumpulan berpendapatan rendah dan mudah terjejas.

Berita Harian X