Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:16am

KDNK global diunjur terus meningkat

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) global pada 2016 diunjur mencatat pertumbuhan lebih baik pada 3.6 peratus, berbanding 3.1 peratus pada 2015, disumbang peningkatan prestasi di ekonomi maju serta keadaan ekonomi semakin baik di pasaran pesat berkembang dan ekonomi membangun.

Bagi ekonomi maju, pertumbuhan KDNK dijangka meningkat 2.2 peratus berbanding dua peratus pada 2015, dengan Amerika Syarikat (AS) menerajui pertumbuhan pada 2.8 peratus (2015: 2.6 peratus) dan kawasan euro pada 1.6 peratus (2015: 1.5 peratus).

Dasar monetari

Pengembangan di AS akan disokong penggunaan dan pelaburan yang kukuh. Pertumbuhan di kawasan euro dijangka terus meningkat lanjutan daripada langkah untuk menyokong pemulihan ekonomi, termasuk pengembangan dasar monetari, pembaharuan pasaran buruh dan penambahbaikan pendekatan fiskal.

Sementara itu, ekonomi United Kingdom (UK) dijangka berkembang 2.2 peratus (2015: 2.5 peratus), disokong penggunaan dan pelaburan swasta yang berdaya tahan.

Penggunaan swasta dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan, manakala pelaburan perniagaan terus meningkat.

Jepun dijangka berkembang sederhana pada satu peratus (2015: 0.6 peratus), disokong dasar monetari lebih akomodatif, yang dijangka merangsang penggunaan dan pelaburan swasta.

Pertumbuhan KDNK di pasaran pesat berkembang dan ekonomi membangun diunjur meningkat kepada 4.5 peratus pada 2016 (2015: empat peratus), disebabkan pertumbuhan sederhana di China, pengembangan stabil di India serta peningkatan dalam beberapa ekonomi ASEAN.

KDNK China dijangka meningkat pada kadar lebih perlahan kepada 6.3 peratus (2015: 6.8 peratus), terutama disebabkan aktiviti pelaburan sektor hartanah kediaman yang semakin lemah.

Liberalisasi pelaburan

Pertumbuhan di India dijangka meningkat marginal pada 7.5 peratus (2015: 7.3 peratus) hasil daripada langkah liberalisasi pelaburan.

Prospek 2016 bergantung kepada risiko yang berpunca daripada langkah normalisasi dasar monetari di AS, peningkatan berterusan nilai dolar AS, harga minyak dan komoditi lain yang terus rendah, kebimbangan berhubung jangkaan pertumbuhan lebih perlahan di China serta ketegangan geopolitik.

Faktor masa, magnitud dan kekerapan untuk menaikkan kadar faedah di AS ke paras normal boleh memberi kesan buruk kepada pasaran perumahan, melemahkan eksport serta menyebabkan lebih volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Dolar AS yang lebih kukuh menimbulkan risiko pembiayaan bagi pasaran pesat berkembang dan ekonomi membangun, terutamanya bagi hutang dalam denominasi dolar AS.

Harga minyak dan komoditi lain yang lebih rendah boleh menjejaskan lagi pertumbuhan pasaran pesat berkembang dan ekonomi membangun yang bergantung kepada eksport komoditi.

Kesan pertumbuhan lebih perlahan di China pula boleh memudaratkan negara yang mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan rapat dengan negara itu.

Berita Harian X