Sabtu, 24 Oktober 2015 | 7:02am

Pertumbuhan ambil kira kelembapan

UNJURAN pertumbuhan pada 2016 mengambil kira kebimbangan terhadap tahap kelembapan pertumbuhan negara pesat berkembang, terutama China.

Selain itu, risiko lain yang perlu diambil kira adalah penurunan harga komoditi, volatiliti pasaran kewangan dan penyusutan nilai mata wang ekonomi pesat berkembang.

Dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dipacu oleh permintaan domestik, diterajui oleh perbelanjaan swasta manakala perbelanjaan awam dijangka meningkat sederhana.

Asas ekonomi kukuh

Pertumbuhan itu dijangka disokong asas ekonomi yang kukuh seperti kadar inflasi yang rendah dan prospek pekerjaan stabil disorong oleh dasar monetari akomodatif.

Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil, berkembang dalam lingkungan empat hingga lima peratus pada 2016.

Dari sudut penawaran pula, pertumbuhan walaupun sederhana, ia dijangka menyeluruh disokong oleh pengembangan semua sektor ekonomi dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Potensi pengeluaran

Sehubungan itu, pendapatan negara kasar (GNI) per kapita nominal dijangka meningkat 5.6 peratus kepada RM38,438 pada 2016 (2015: 4.2 peratus; RM36,397).

Pada 2016, kesan GST ke atas harga dijangka berkurang manakala ringgit yang semakin lemah membawa kepada harga lebih tinggi dalam beberapa barangan diimport.

Bagaimanapun, ini akan diimbangi oleh harga komoditi serta inflasi global lebih rendah, di samping ekonomi dijangka mampu beroperasi

selaras dengan potensi pengeluaran tanpa sebarang peningkatan tekanan yang ketara terhadap harga dalam negeri. Dengan itu, inflasi dijangka stabil pada 2-3 peratus pada 2016.

Diunjur kukuh

Bagi setiap sektor, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 5.4 peratus pada 2016 (2015; 5.7 peratus); sektor pembuatan pada 4.3 peratus (2015; 4.5 peratus) dan sektor pertanian dijangka kekal 1.3 peratus pada 2016 dan 2015.

Bagi sektor perlombongan, ia diunjur kekal kukuh dengan pertumbuhan empat peratus pada 2016 (2015; 3.5 peratus) manakala sektor pembinaan dijangka meningkat 8.4 peratus (2015; 8.8 peratus).

Pendapatan negara pada harga semasa dijangka berkembang tujuh peratus pada 2016 (2015; 5.5 peratus).

Tabungan negara kasar (TNK) diunjur meningkat 4.7 peratus dengan sektor swasta menyumbang 75.7 peratus daripada jumlah simpanan (2015; 79.6 peratus).

Berita Harian X