Selasa, 13 Oktober 2015 | 4:43pm

PropertyGuru gesa kerajaan lihat kembali peraturan pembiayaan

KUALA LUMPUR: Portal hartanah dalam talian, PropertyGuru menggesa kerajaan untuk mengkaji semula beberapa peraturan semasa ke atas pembiayaan dan pinjaman, terutamanya untuk pemilik rumah kali pertama.

Pengurus Negara Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata maklum balas daripada pihak yang berkepentingan dalam industri seperti ejen hartanah, pembiaya akhir, pemaju hartanah dan pembeli rumah - menunjukkan konsensus yang jelas bahawa sudah sampai masa untuk kerajaan melihat semula dasar pinjaman sekarang ini bagi menjadikannya lebih kondusif bagi mendapatkan pembiayaan.

"Penolakan pinjaman menjadi antara satu sebab jumlah transaksi menjadi rendah. Kajian sentimen pelanggan kami sendiri menunjukkan kesukaran dalam mendapat kelulusan pinjaman bank menjadi sebab utama, rasa tidak puas hati semakin meningkat dalam kalangan pembeli.

"Yang paling terjejas adalah isi rumah berpendapatan sederhana yang tidak memenuhi syarat untuk membeli skim kos rendah dan pada masa yang sama, sukar untuk membeli daripada pasaran disebabkan isu-isu pembiayaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan negara sedang memasuki suku terakhir 2015 serta pembentangan Bajet 2016 yang semakin hampir, ini merupakan masa yang sesuai untuk melihat semula langkah-langkah kewangan sedia ada, yang telah mencapai tujuan mereka dengan baik sebelum ini bagi mengurangkan spekulasi. - BERNAMA

Berita Harian X