Rabu, 7 Oktober 2015 | 4:45pm

CTRM sasar pertumbuhan hasil 20 peratus tahun ini

PERTUKARAN kontrak di meterai oleh Ketua Pegawai Operasi CTRM, Che Akhma Ismail (kiri) dan Presiden UTAS Aerostructures, Marc Duvall serta disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan (tengah), Kumpulan Pengarah DRB-Hicom Berhad, Brigadier Jeneral (K) Urusan Tan Sri Mohd Khamil Jamil (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi Pengedaran dan Pembuatan Automotif DRB-Hicom, Datuk Radzaif Mohamed di Glenmarie Golf and Country Club, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir.

KUALA LUMPUR: CTRM Aero Composites Sdn Bhd, anak syarikat DRB-Hicom Bhd, menjangka mencapai pertumbuhan hasil 20 peratus tahun ini daripada RM680 juta tahun lalu dengan memanfaatkan pertumbuhan industri aeroangkasa.

Ketua Pegawai Operasi Pengedaran dan Pembuatan Automotif DRB-Hicom, Datuk Radzaif Mohamed, berkata industri itu berkembang lima peratus setahun, yang akan memacu permintaan bagi komponen komposit.

"Aktiviti CTRM akan menjadi satu daripada bahagian tumpuan utama kami kerana syarikat itu berjaya menambah pendapatan kami dan mengembangkan potensi kami dalam industri aeroangkasa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian antara CTRM dan UTC Aerospace System (UTAS) yang berpangkalan di AS bagi lanjutan kontrak pembekalan komponen komposit bagi tiga pakej kerja.

Perjanjian kontrak itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Operasi CTRM, Che Akhma Ismail dan Presiden UTAS Aerostructures Marc Duvall, dan disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

UTAS menganugerahkan kontrak pertama kepada CTRM pada 2003 bagi pembekalan 'fan cowls' dengan surat hasrat bagi lanjutan kontrak diserahkan semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015.

Daripada lanjutan kontrak itu, CTRM menjangka purata pendapatan tahunan tambahan RM218 juta dari 2016 sehingga 2030, dan ketika ini, terdapat sejumlah tujuh pakej kerja di CTRM bernilai RM4.2 bilion daripada UTAS sahaja.

Pengeluaran tiga pakej kerja iaitu fan cowls komposit, panel inlet cowl dan pembalik daya dorong akan dibuat di kilang pembuatannya di Batu Berendam, Melaka.

Mengenai perbelanjaan modal, Che Akhma berkata, CTRM memperuntukkan RM300 juta bagi tempoh 2014-2018 bagi membina kilang baharu dan mengambil pekerja mahir untuk menampung peningkatan permintaan daripada industri aeroangkasa.

Che Akhma berkata, ketika ini CTRM memiliki 12 autoklaf dan memandangkan kadar pertumbuhan industri, ia perlu membeli dua autoklaf setahun hingga 2018.

Eksport segmen perniagaan CTRM berjaya melindung secara tidak langsung syarikat itu daripada kesan pergerakan tidak menentu pertukaran asing bagi import bahan mentahnya seperti komposit karbon dan kaca. - BERNAMA

Berita Harian X