Isnin, 28 September 2015 | 2:33pm

Saham KL kekal rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR 08 AUGUST 2014. Reaksi pelabur setelah Khazanah Nasional menyah senarai saham Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) di ruang dagangan RHB Bank. NSTP/Surianie Mohd Hanif
KUALA LUMPUR 08 AUGUST 2014. Reaksi pelabur setelah Khazanah Nasional menyah senarai saham Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) di ruang dagangan RHB Bank. NSTP/Surianie Mohd Hanif

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal rendah di sepanjang urus niaga pagi, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.98 mata pada penutup tengah hari berpunca daripada kebimbangan isu dalaman dan luaran.

Pada jam 12.30 tengah hari, FBM KLCI mencatatkan 1,609.03 selepas bergerak antara 1,600.27 dan 1,613.96. Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 396 berbanding 258 manakala 260 kaunter tidak berubah, 920 tidak diniagakan dan 48 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak satu bilion saham bernilai RM715.87 juta.

Maybank Investment Bank berkata dari segi teknikal ia mengunjurkan paras sokongan pada 1,503 dan 1,600.

"Kecairan tinggi pada tahap ketahanan 1,615 hingga 1,691 mungkin menyekat pemulihan. Pelabur wajar melihat dagangan pada zon 1,503 hingga 1,691 untuk jangka pendek dengan indeks memihak kepada negatif," kata firma penyelidikan itu dalam notanya.

Ia berkata FBM KLCI susut 54.44 mata minggu ke minggu untuk ditutup pada 1,615.01 dalam dagangan luas.

Corak pasaran dunia yang lemah menjurus kepada prestasi rendah di bursa tempatan, katanya dan menambah jumlah dagangan pada minggu lepas susut daripada 1.99 bilion kepada 1.59 bilion saham.

Sementara itu, di papan skor, Indeks FBM Emas susut 26.43 mata kepada 11,138.95, Indeks FBMT100 turun 23.90 mata kepada 10,853.49 namun Indeks FBM Emas Shariah meningkat 4.79 mata kepada 11,833.43.

FBM 70 menokok 33.42 mata kepada 12,239.52 dan Indeks FBM Ace merosot 15.31 mata kepada 5,557.94.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 96.56 mata kepada 13,883.16, Indeks Perladangan meningkat 19.30 mata kepada 6,964.91 manakala Indeks Perusahaan menambah 9.03 mata kepada 3,117.02.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.38, Public Bank rugi 20 sen kepada RM17.40, TNB turun dua sen kepada RM12.06 manakala Axiata susut satu sen kepada RM5.81.

Bagi saham aktif, IFCA turun 2.5 sen kepada 94.5 sen, The Media Shoppe susut setengah sen kepada 12 sen, AirAsia turun satu sen kepada RM1.29 dan Global Oriental menokok 1.5 sen kepada 61 sen.

- BERNAMA

Berita Harian X