Rabu, 23 September 2015 | 1:46pm

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia rendah ketika mengakhiri sesi pagi susulan ketiadaan permintaan belian ketika sentimen berhati-hati terus menyelubungi pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.4 mata kepada 1,613.97 selepas berlegar antara 1,609.83 dan 1,626.96. Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 470 berbanding 202 manakala 253 kaunter tidak berubah, 908 tidak diniagakan manakala 18 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.06 bilion saham bernilai RM980.67 juta.

Menurut Kenanga Research, kalangan pelabur lebih berhati-hati berikutan sentimen yang dipengaruhi penurunan harga minyak mentah serta keadaan ringgit yang terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Dari sudut teknikal, jika bursa tempatan berada di bawah paras sokongan semasa pada 1,621, kami berpendapat indeks petunjuk utama akan terus mengukuh ke arah paras 1,600," kata firma penyelidikan itu dalam satu nota, hari ini.

Saham berwajaran tinggi paling teruk menerima kesannya apabila Maybank susut 12 sen kepada RM8.40, Public Bank rugi 44 sen kepada RM17.68, Tenaga turun 4.0 sen kepada RM12.14, Axiata merosot 14 sen kepada RM5.92 manakala Maxis jatuh 6.0 sen kepada RM6.50.

Dalam kalangan saham aktif, UEM Sunrise menokok 11 sen kepada RM1.18, APFT tidak berubah pada 23 sen manakala AirAsia susut 4.0 sen kepada RM1.33.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 130.71 mata kepada 11,159.56, Indeks FBMT100 jatuh 131 mata kepada 11,876.53 manakala Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 107.35 mata kepada 11,819.95.

FBM 70 susut 98.55 mata kepada 12,227.79 manakala FBM Ace turun 35.69 mata kepada 5,504.21.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 205.76 mata kepada 13,983.26, Indeks Perladangan susut 32.25 mata kepada 6,962.21 dan Indeks Perusahaan turun 21.99 mata kepada 3,089.12. - BERNAMA

Berita Harian X