Isnin, 21 September 2015 | 5:01pm

Firma penyelidikan kekal saranan 'pegang' terhadap Lafarge Malaysia

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Lafarge Malaysia Bhd, selepas syarikat itu mengumumkan ia akan membeli keseluruhan kepentingan PT Holcim Indonesia Tbk dalam Holcim (Malaysia) Sdn Bhd.

Jumaat lalu, Lafarge Malaysia mengumumkan pembelian itu melibatkan kos RM330 juta, susulan selesainya penggabungan syarikat pegangan utama Lafarge SA dengan Holcim Ltd, dan kini dikenali sebagi LafargeHolcim Ltd.

Affin Hwang Capital berkata, pembelian akan meningkatkan kapasiti pengeluaran simen Lafarge sebanyak 9.2 peratus kepada 14.14 juta tan metrik setahun.

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham dengan harga sasaran RM9.05," katanya dalam nota hari ini.

Menerusi nota berasingan, HLIB Research berkata, perolehan itu akan memberi kesan minimum terhadap pendapatan Lafarge Malaysia memandangkan asas pendapatannya yang besar berbanding Holcim Malaysia.

Berhubung pembiayaan, firma penyelidikan itu berkata Lafarge Malaysia tidak akan mempunyai masalah berikutan ia mempunyai tunai bersih RM367.9 juta setakat akhir Jun.

HLIB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Lafarge Malaysia dengan harga sasaran RM9.59.

Mengenai prospek, Kenanga Research berkata permintaan simen domestik sepatutnya kekal berdaya tahan tahun ini seiring dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar bagi sektor pembinaan yang dijangka oleh firma itu pada 7.8 peratus.

"Bagaimanapun kami kekal berhati-hati terhadap unjuran pendapatan peserta simen kerana persaingan sengit berterusan yang berkemungkinan mencetuskan perang harga berikutan pengembangan kapasiti sebanyak 14 peratus di Semenanjung Malaysia sehingga tahun depan," katanya.

Kenanga Research mengekalkan penarafan 'bawah prestasi' terhadap saham itu dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.25.

Setakat tengah hari, kaunter Lafarge Malaysia tidak berubah pada RM9.29 - BERNAMA

Berita Harian X