X
Khamis, 3 September 2015 | 4:03pm

AirAsia lancar laluan Kuala Lumpur-Goa hari ini

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto AP
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto AP

KUALA LUMPUR: AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, memperkenalkan laluan terbaharu Kuala Lumpur-Goa,  India bermula hari ini. 

Penerbangan terus tiga kali seminggu itu adalah laluan kedua bagi AirAsia ke India bagi tahun ini, selepas Visakhapatnam yang dilancarkan pada awal tahun. 

Serentak pelancaran laluan baharu itu, syarikat penerbangan itu  mengumumkan promosi tambang  termasuk semua bermula dari harga serendah RM129 sehala. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata Goa adalah destinasi menarik untuk dikunjungi dan AirAsia berbangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menyambungkan Kuala Lumpur terus ke Goa; laluan unik ke enam yang diperkenalkan bagi tahun ini. 

"Komitmen kami adalah memberi jaringan perhubungan terbaik bagi semua di rantau ini dan pengenalan laluan unik ini melambangkan komitmen kami. 

"Selain itu, kemasukan ke India akan menjadi lebih mudah bagi pelancong yang ingin ke negara berkenaan dengan pengenalan e-Visa Pelancong," katanya pada majlis pelancaran penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Goa, hari ini. 

Sebahagian daripada usaha berterusan AirAsia bagi memperkembangkan jaringan perhubungan ke India, jadual penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kochi juga akan ditambah daripada 10 kali seminggu ke 14 kali seminggu bermula 19 November ini.

Berita Harian X