Khamis, 3 September 2015 | 3:57pm

Syarikat hartanah China, Agile sertai projek RM1.2b di Malaysia

KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi semasa tidak menjejaskan minat pelabur asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan terbaharu, Agile Property Holdings Limited (Agile) yang melebarkan sayap ke negara ini menerusi projek hartanah pertamanya, Agile Mont Kiara.

Pemaju hartanah terkemuka China itu memasuki pasaran kediaman di Malaysia yang menjadi destinasi luar negara pertama syarikat menerusi projek kondominium membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

Agile Property Holdings yang juga syarikat senaraian awam di Hong Kong, mengatur strategi untuk meneroka pasaran hartanah tempatan dengan menubuhkan syarikat usaha sama dengan PJ Development Holdings Bhd (PJD) yang dikenali Agile Real Estate (M) Sdn Bhd (Agile Real Estate).

Ketua Pegawai Eksekutif Agile Real Estate, Wilson Ren Wen Sheng, berkata pihaknya kekal yakin dengan pasaran hartanah Malaysia walaupun ia menyederhana sepanjang tahun ini susulan langkah monetari lebih ketat yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, pasaran hartanah Malaysia kekal menarik terutama di Kuala Lumpur dan kelemahan ringgit turut memberi impak positif kepada syarikat asing untuk memasuki pasaran negara ini.

"Agile Mont Kiara adalah projek sulung kami di Malaysia dan kami yakin ia akan mendapat sambutan daripada pembeli kerana produk yang ditawarkan amat menarik dan terbuka kepada semua," katanya selepas majlis pelancaran media dan pecah tanah Agile Mont Kiara di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi Agile Real Estate, Eric Yeo dan Pengarah Eksekutif PJD, Ong Ju Xing.

Agile Property Holdings menguasai 70 peratus kepentingan di dalam Agile Real Estate, manakala PJD memegang baki kepentingannya.

Agile Property Holdings adalah antara 10 pemaju hartanah terbesar di China yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Saham Hong Kong sejak 2005.

Berita Harian X