Khamis, 20 Ogos 2015 | 6:46pm

Ringgit ditutup 0.75 peratus lebih rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup 0.75 peratus lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan jualan dan diikuti dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Pada jam 5 petang, ringgit disebut pada 4.1350/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1040/1090 semalam.

Ringgit pada awal dagangan mencatat kenaikan, namun ditutup rendah hari ini disebabkan harga minyak mentah yang terus susut, kata peniaga.

"Kebimbangan terhadap tawaran berlebihan bekalan minyak mentah menyebabkan satu lagi pusingan momentum jualan hari ini dalam mata wang pesat membangun berkaitan eksport mentah, termasuk ringgit," katanya.

Harga minyak mentah West Texas Intermediate berlegar hampir AS$40 setong manakala minyak mentah Brent yang didagangkan di peringkat antarabangsa jatuh di bawah AS$47 setong, katanya.

"Ringgit lemah walaupun selepas Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak akan melaksanakan tambatan ringgit atau kawalan modal.

"Berkemungkinan ringgit diuji lagi pada paras genting 4.15 malam ini sekiranya dolar AS mengukuh," kata peniaga.

Ringgit mencapai paras dagangan harian rendah 4.15 pada Jumaat lalu bagi kali pertama sejak krisis kewangan Asia, 17 tahun lalu.

Mata wang tempatan itu turut ditutup rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit terus susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9414/9452 daripada 2.9235/9281 pada Rabu, dan didagangkan rendah berbanding yen pada 3.3363/3411 daripada 3.3025/3073.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding pound kepada 6.4589/4675 daripada 6.4343/4437, dan susut berbanding euro kepada 4.6039/6111 daripada 4.5362/5425. - BERNAMA

Berita Harian X