Sabtu, 15 Ogos 2015 | 4:25pm

Ringgit dijangka didagangkan secara berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengalami dagangan berhati-hati minggu depan berikutan ketidaktentuan sentimen global, kata seorang wakil peniaga.

"Mata wang ekonomi baru muncul Asia diunjur terus dipengaruhi oleh faktor-faktor luar seperti prestasi minyak mentah dunia dan ketidaktentuan hala tuju dasar di negara ekonomi utama terutamanya Amerika Syarikat berhubung keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan serta China dengan penurunan nilai yuan.

"Isu-isu yang dihadapi 1Malaysia Development Bhd dan kemelut politik dalam negara juga antara cabaran yang dihadapi ringgit," katanya.

Data untuk dipantau minggu depan ialah indeks harga pengguna bagi Julai dan rizab asing bagi tempoh berakhir 14 Ogos, katanya.

"Pelabur mungkin terus mencari dolar dan kurang bagi ringgit minggu depan dengan tiada paras sasaran segera. Secara teknikalnya, pasaran mungkin menguji paras 4.15 manakala 4.00 kekal sebagai sokongan utama," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan rendah daripada 1,530 mata asas berbanding dolar AS pada 4.0750/0800 daripada 3.9220/9250 yang dicatatkan Jumaat lalu.

Ringgit mencecah paras terendah harian pada 4.15 berbanding dolar pada Jumaat minggu lalu buat kali pertama sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lalu.

Mata wang tempatan juga terus turun berbanding dolar Singapura pada 2.9037/9087 berbanding 2.8291/8317 pada Jumaat lalu dan rendah berbanding yen kepada 3.2784/2837 daripada 3.1429/1458 sebelumnya.

Ringgit rendah berbanding pound sterling kepada 6.3603/3693 daripada 6.0881/0943 minggu lalu dan susut berbanding euro kepada 4.5424/5496 daripada 4.2836/2885 sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X